02 Julai 2021

Pembelian panik menjelang PKPD mukim di Selangor

KUALA LUMPUR: Penduduk dalam mukim yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor, pagi ini bergegas membeli pelbagai barangan keperluan menjelang penguatkuasaan perintah itu yang akan berkuat kuasa mulai tengah malam nanti.

Seawal jam 7 pagi, tinjauan mendapati penduduk di Bandar Bukit Sentosa dan Bandar Bukit Beruntung dalam Mukim Serendah, Hulu Selangor, berbaris panjang di luar sebuah pasar raya di bandar itu, walaupun premis perniagaan terbabit dibuka jam 8 pagi.

Selain pasar raya, orang ramai turut berbaris panjang menunggu giliran masing-masing untuk masuk membeli barangan basah keperluan harian di pasar pagi Bukit Sentosa yang beroperasi di tapak letak kenderaan bandar baru itu.

Orang ramai bertumpu di pasar pagi terbabit, susulan penutupan Pasar Awam Bukit Sentosa oleh pihak berkuasa sejak seminggu lalu bagi tujuan pembersihan dan sanitasi selepas beberapa pekerja di situ dikesan mengalami jangkitan pandemik COVID-19.

Dalam usaha memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pasar raya yang menjadi tumpuan, menugaskan kakitangan untuk mengedarkan kad angka giliran memasuki premis untuk membeli belah.

Di pasar pagi pula, petugas Jabatan Sukarelawan (RELA) mengawasi proses pengambilan suhu dan pengimbas kod MySejahtera sambil mengawal bilangan orang ramai yang dibenarkan memasuki tapak pasar terbuka itu.

Petugas yang ditemui menyifatkan tumpuan orang ramai di pasar raya dan pasar pagi hari ini berpunca daripada sikap suka membuat pembelian panik, sedangkan premis itu akan dibuka setiap hari sepanjang tempoh PKPD.

BH/-

Tiada ulasan: