02 Julai 2021

Budak maut terkena renjatan elektrik

 Kawasan lapang di Kampung Tembiluk, Mengkabong, Tuaran, lokasi mangsa dipercayai bermain layang-layang sebelum insiden renjatan elektrik berlaku. NSTP/RECQUEAL RAIMI

Kawasan lapang di Kampung Tembiluk, Mengkabong, Tuaran, lokasi mangsa dipercayai bermain layang-layang sebelum insiden renjatan elektrik berlaku. NSTP/RECQUEAL RAIMI

TUARAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun maut dipercayai terkena renjatan elektrik di kawasan lapang di Kampung Tembiluk, Mengkabong di sini, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim, berkata sebelum insiden jam 12.45 tengah hari itu, mangsa dipercayai bermain layang-layang bersama seorang rakannya yang berusia 12 tahun.

Katanya, pihak polis kemudian menerima panggilan telefon daripada orang awam berhubung penemuan seorang kanak-kanak lelaki dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri di lokasi yang juga bekas tapak padi sawah.

"Hasil siasatan mendapati, kejadian awal berpunca daripada layang-layang mangsa yang tersangkut di tiang elektrik.

"Mangsa berusaha mendapatkan layang-layang itu semula dengan menjoloknya menggunakan batang besi menyebabkan mangsa terkena renjatan elektrik lalu tidak sedarkan diri," katanya.

Mohd Hamizi berkata, bapa mangsa hanya menyedari kejadian selepas adik iparnya memaklumkan penemuan mangsa dan dihantar ke Hospital Tuaran.

"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di wad kecemasan akibat melecur separuh badan.

"Mayat mangsa ditempatkan di unit Forensik Hospital Tuaran bagi mengikuti prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 sebelum proses bedah siasat dijalankan," katanya.

Mohd Hamizi berkata, pemeriksaan mendapati tiada tanda mencurigakan manakala kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sehingga laporan penuh bedah siasat diperoleh. BH/-

Tiada ulasan: