02 Julai 2021

Malaysia tuan rumah hoki Piala Dunia Remaja

 Subahan optimis Piala Dunia Remaja itu mampu jadi pemangkin kepada pembangunan hoki negara.

Subahan optimis Piala Dunia Remaja itu mampu jadi pemangkin kepada pembangunan hoki negara.

KUALA LUMPUR: Malaysia berjaya memenangi bidaan sebagai tuan rumah Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2023, Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

Presiden Konfiderasi Hoki Malaysia (MHC Datuk Seri Subahan Kamal yang mengesahkan perkara ini berkata bahawa beliau gembira melihat Malaysia diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah acara itu untuk kali keempat.

"Ini mencerminkan kepercayaan dan keyakinan FIH terhadap MHC untuk mengatur dan menganjurkan kejohanan yang besar ini untuk peminat hoki global. Kali terakhir kita menganjurkan acara ini sejak lebih sedekad lalu pada tahun 2009," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malaysia pernah menjadi tuan rumah Kejohanan Piala Dunia remaja lelaki pada 1982 dan 1989 serta menganjurkan secara bersama dengan negara jiran, Singapura pada 2009.

Subahan menjangkakan kejohanan Piala Dunia Remaja itu akan menjadi pemangkin kepada pembangunan dan kemajuan sukan hoki dalam kalangan remaja di Malaysia dan rantau ini.

Beliau berkata MHC akan bekerjasama rapat dengan semua pihak berkaitan, termasuk kerajaan, FIH dan pelbagai pihak berkepentingan untuk memastikan kejayaan penganjuran acara berkenaan.

"Kita berharap keadaan akan bertambah baik pada tahun 2023 dan peminat akan disajikan dengan persembahan menarik dan menakjubkan daripada bintang-bintang masa depan hoki dunia.

"Malaysia begitu teruja untuk menganjurkan acara ini dan berharap dapat menganjurkan kejohanan ini dengan jayanya," katanya sambil menambah perincian mengenai kejohanan itu akan dimaklumkan dalam beberapa bulan lagi. - BERNAMA

Tiada ulasan: