02 Julai 2021

Sukan Olimpik Tokyo diadakan secara tertutup

 Gambar hiasan

Gambar hiasan

TOKYO: Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga memberi amaran temasya sukan Olimpik di sini, mungkin diadakan secara tertutup, berikutan peningkatan kes jangkitan COVID-19 di beberapa bandar tiga minggu sebelum ia membuka tirai.

Bulan lalu, penganjur memutuskan untuk mengehadkan seramai 10,000 hadirin atau separuh kapasiti venue atau tempat perlawanan untuk temasya sukan yang tertangguh itu.

Menurut Suga, beliau mengingatkan penonton dilarang untuk hadir menyaksikan acara sempena temasya itu berlangsung sekiranya situasi pandemik COVID-19 bertambah buruk.

Ini berikutan, kerajaan terpaksa memperluas langkah 'anti-virus' di seluruh Tokyo ketika kes baharu meningkat.

"Ada kemungkinan tidak ada penonton di stadium ketika temasya itu berlangsung.

"Kami akan bertindak dengan berhati-hati dan keselamatan rakyat Jepun adalah keutamaan kami," kata Suga.

Akhbar Yomiuri Shimbun hari ini melaporkan, penonton dilarang menghadiri acara yang diadakan pada waktu petang atau di venue yang besar.

Menurut laporan akhbar itu lagi, penganjur juga cenderung menangguhkan penjualan tiket yang dijadual bermula Selasa ini.

"Jangkitan COVID-19 meningkat semula di Tokyo dan tempat lain. Orang ramai diminta mengetatkan lagi pematuhan kepada tindakan pencegahan," lapor Yomiuri Shimbun.

Kes jangkitan COVID-19 meningkat di Jepun sejak darurat kecemasan negeri ditarik bulan lalu dan digantikan dengan sekatan yang lebih 'longgar' dan akan tamat pada 11 Julai ini.

Kerajaan kemungkinan akan melanjutkan sekatan itu seawal minggu depan, sekali gus bermaksud, ia akan dilaksanakan ketika temasya dibuka pada 23 Julai.

Maksimum seramai 5,000 penonton dibenarkan menghadiri acara temasya itu di bawah langkah sekatan semasa, yang mengkehendaki restoran dan bar ditutup lebih awal. - AFP

Tiada ulasan: