02 Julai 2021

'Tolong Palestin, jumpa pelajar Malaysia'

 Caprice sempat mengunjungi Pendakwah dan aktivis masyarakat, Ebit Lew yang turut berada di Gaza. - Foto IG Caprice

Caprice sempat mengunjungi Pendakwah dan aktivis masyarakat, Ebit Lew yang turut berada di Gaza. - Foto IG Caprice

KUALA LUMPUR: Berbekal niat membantu rakyat Palestin dan bertemu pelajar Malaysia yang terkandas di Kaherah, Mesir, penyanyi, Caprice berangkat sendirian ke wilayah bergolak itu, minggu lalu, lalu mengejutkan peminat dan pengikut laman sosialnya.

Selepas menempuh perjalanan selama 18 jam, Caprice yang mendapat kebenaran memasuki Gaza, Palestin, pada saat-saat akhir sehingga bergegas 'terbang' ke Mesir, Rabu lalu, disambut baik setibanya di Kaherah.

Biarpun niat dipersoalkan netizen, Caprice atau nama sebenar, Ariz Ramli tidak berganjak daripada misinya itu.

Tampil memberi penjelasan di Instagram (IG), Caprice menjelaskan niatnya mahu mengukuhkan misi jangka panjang Road To Al Aqsa 2040.

"Ramai wartawan termasuk blogger menghantar Direct Message (DM) bertanya apa misi saya di Gaza. Jadi, saya jelaskan di sini.

"Pertamanya, untuk memberi pertolongan kepada penduduk Palestin di wilayah Gaza. Kedua, untuk bertemu kenalan baharu dan membina jaringan lebih kukuh demi visi jangka panjang saya iaitu Road To Al Alqsa 2040.

"Ketiga, mahu bertemu rakyat dan pelajar Malaysia yang terkandas di Kaherah sejak COVID-19," katanya.

Bagaimanapun, Caprice memberitahu, dia tidak boleh merakamkan semua pergerakan atas tujuan keselamatan.

"Kalau ada misi yang sudah lengkap, barulah saya dapat muat naik, Insya-Allah. Terima kasih kepada semua yang mendoakan dan membakar semangat... Saya sangat hargai.

"Sayang dan semoga Allah memberkati Malaysia" katanya.

Penyanyi lagu Kau Hade, Caprice bertemu peminat ciliknya di Kaherah. - Foto IG Caprice
Penyanyi lagu Kau Hade, Caprice bertemu peminat ciliknya di Kaherah. - Foto IG Caprice

Penyanyi lagu Kau Hade ini memuat naik penjelasan selepas netizen mempersoalkan keperluan dan tujuan Caprice berangkat ke wilayah bergolak itu, ketika negara berdepan pandemik COVID-19 yang semakin membimbangkan.

Rabu lalu, Caprice mengumumkan 'terbang' ke Mesir bersendirian bagi mengikuti misi kemanusiaan dan meminta orang ramai mendoakan misinya lancar.

Dalam mesejnya, Caprice menyebut: "Tolong doakan saya Malaysia. Saat terakhir saya dapat kebenaran untuk masuk ke Kaherah-Gaza.

"Cuma saya kena terbang seorang malam ini. Maafkan semua kesilapan saya, halalkan makan dan minum saya. Insya-Allah, suatu hari nanti saya akan buat anda bangga. Demi ummah, rakyat dan negara," katanya.

Caprice berpesan jika dia dilihat tidak mengemaskini laman sosialnya, ia bermaksud dirinya sibuk menjalankan misi kemanusiaan di wilayah bergolak itu.

Sebelum ini, BH melaporkan Caprice berangkat ke Mesir bagi menjayakan Misi Kemanusiaan Untuk Palestin (HM4P), hasil gabungan 16 anggota diketuai Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BKUM), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

HM4P menerusi kenyataan menjelaskan misi itu bertujuan menyatakan solidariti kepada rakyat Palestin selepas terkesan dengan situasi perang dan konflik di Gaza.

Caprice terserempak dengan pelajar Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah. - Foto IG Caprice
Caprice terserempak dengan pelajar Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah. - Foto IG Caprice

Misi itu turut disertai dua wakil Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia) termasuk anggota EXCO, Norazam Ab Samah.

Kenyataan itu menyebut, sebaik tiba di Kaherah, Caprice bersama anggota sukarelawan misi HM4P mengagihkan bantuan termasuk 10 kerusi roda yang disampaikan Abdul Azeez kepada wakil Hospital Palestin di Kaherah yang dikendalikan Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir.

"Mereka juga melawat beberapa pesakit rakyat Palestin yang menerima rawatan lanjut di hospital berkenaan, termasuk seorang gadis dikenali sebagai Mariam, berasal dari Gaza yang memerlukan bantuan alat pernafasan.

"Hospital Palestin di Kaherah menerima purata 10 pesakit warga Palestin dari Gaza setiap bulan yang mendapatkan rawatan lanjut akibat kekangan perkhidmatan kesihatan di wilayah konflik terkepung itu," katanya.

Misi HM4P anjuran BKUM bermula 19 Jun lalu bagi menyatakan solidariti rakyat Malaysia kepada warga Palestin, selain menyalurkan bantuan kemanusiaan dalam bentuk kewangan, bekalan makanan dan ubat-ubatan.

Bantuan disalurkan kepada golongan memerlukan di Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, Tebing Barat dan warga Palestin terjejas di Gaza yang diserang tentera Israel, sejak Mei lalu. BH/-

Tiada ulasan: