02 Julai 2021

Keputusan tawaran ke Tingkatan Enam diumum Isnin

  Gambar hiasan

Gambar hiasan

Putrajaya: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengumumkan keputusan tawaran kemasukan ke Tingkatan Enam bagi 2021 pada Isnin ini.

KPM berkata, pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 boleh membuat semakan keputusan tawaran dan pendaftaran mulai 5 hingga 15 Julai secara dalam talian menerusi Portal Aplikasi Dalam Talian Tingkatan Enam di pautan https://sst6.moe.gov.my/.

"Bagi pelajar lepasan SPM tahun 2020 yang tidak mempunyai capaian internet, pihak sekolah akan memaklumkan keputusan tawaran dan membantu proses pendaftaran," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pelajar lepasan SPM 2020 yang memenuhi syarat kemasukan ke Tingkatan Enam tetapi tidak menerima tawaran, boleh mengemukakan permohonan rayuan secara dalam talian menerusi pautan https://sst6.moe.gov.my/.

"Bagi lepasan SPM tahun 2020 yang tidak mempunyai capaian internet, pihak sekolah akan membantu menguruskan rayuan mereka," katanya.

KPM memaklumkan, tempoh rayuan adalah mulai 5 hingga 15 Julai dan keputusan permohonan rayuan kemasukan ke Tingkatan Enam semester satu akan dimaklumkan pada 20 Julai melalui portal sama.

"Bagi pelajar yang tidak mempunyai capaian internet, pihak sekolah akan memaklumkan keputusan permohonan rayuan pada tarikh sama," katanya.

Sesi pengajian bagi Tingkatan Enam semester satu tahun 2021 akan bermula 25 Julai bagi sekolah dalam negeri kumpulan A dan 26 Julai bagi sekolah dalam negeri kumpulan B.

Kumpulan A adalah sekolah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala kumpulan B membabitkan sekolah di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

– BERNAMA

Tiada ulasan: