02 Julai 2021

Lebih 500,000 terima agihan RM1.1 bilion bantuan JKM

 Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun (kanan) beramah mesra bersama ibu tunggal, Noorlin Abd Razak dan ibunya Norini Hussin, yang merupakan penerima sumbangan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ketika membuat tinjauan mengenai mereka yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Projek Perumahan Rakyat Kerinchi, Pantai Dalam hari ini.

KUALA LUMPUR: Seramai 517,769 individu di seluruh negara, menerima agihan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membabitkan perbelanjaan berjumlah RM1.1 bilion setakat Mei tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata jumlah penerima berkenaan adalah daripada lebih 22,000 permohonan yang diluluskan oleh JKM.

"Ini yang agak merisaukan dan kita tahu ramai yang terjejas...Kita fokus kepada kumpulan miskin tegar (dahulu)," katanya kepada pemberita selepas melawat dan menyampaikan bantuan kebajikan kepada keluarga ibu tunggal di flat Program Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi hari ini.

Terdahulu, Rina menyampaikan surat kelulusan Bantuan Kanak-kanak kepada empat penama yang akan menerima bantuan kewangan setiap bulan bermula Julai selama setahun bergantung kepada jumlah serta umur tanggungan masing-masing.

Seorang daripada penerima Noorlin Abdul Razak, 40, berkata bantuan RM1,000 sebulan yang diterima menerusi Bantuan Kanak-kanak itu akan digunakan sebaiknya bagi menampung perbelanjaan keenam-enam anaknya.

Menjalani perniagaan kecil-kecilan menjual popia sejuk beku sejak tahun lepas, dia berkata amalan menabung sentiasa diterapkan kepada anak-anaknya yang berusia lingkungan tiga hingga 11 tahun.

"Setelah ditinggalkan suami pada awal tahun, saya tidak boleh keluar bekerja kerana anak-anak memerlukan jagaan saya. Dengan berniaga, ada pendapatan walaupun sedikit untuk belanja anak-anak. Alhamdulillah, duit tak pernah putus walaupun RM10.

"Bantuan JKM sebegini memberi semangat untuk saya sebagai ibu tunggal dan anak-anak supaya bangkit meskipun berdepan dengan situasi sukar tatkala COVID-19 ini," katanya yang turut menjaga ibunya berusia 66 tahun di flat PPR itu. – BERNAMA

Tiada ulasan: