02 Julai 2021

'Sidang Parlimen segera sebelum 1 Ogos'

 Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan untuk memanggil sidang Parlimen secepat mungkin iaitu sebelum 1 Ogos ini. - Foto fail NSTP

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan untuk memanggil sidang Parlimen secepat mungkin iaitu sebelum 1 Ogos ini. - Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan untuk memanggil sidang Parlimen secepat mungkin iaitu sebelum 1 Ogos ini.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen & Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata perkara itu akan dimuktamadkan pada Mesyuarat Jemaah Menteri Rabu ini.

"Kerajaan Persekutuan sentiasa menjunjung titah pandangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam semua hal berkaitan pemerintahan negara termasuklah berhubung persidangan Parlimen," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selasa lalu, Al-Sultan Abdullah sekali lagi menzahirkan pandangan persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat dapat dibentang di Parlimen seperti termaktub dalam Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, Yang baginda menzahirkan pandangan itu susulan sesi menghadap oleh Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun di Istana Negara serta lanjutan daripada sesi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang berlangsung pada 16 Jun lalu.

Parlimen tidak bersidang selepas Yang di-Pertuan Agong pada 11 Januari lalu memberi perkenan supaya Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara hingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif untuk membendung wabak COVID-19.

Bagaimanapun, pada 24 Februari lalu, Al-Sultan Abdullah bertitah Parlimen boleh bersidang ketika tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh difikirkan sesuai oleh baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Muhyiddin ketika menyampaikan perutusan Pelan Pemulihan Negara pada 15 Jun lalu pula menyatakan sidang Parlimen boleh diadakan sekitar September atau Oktober dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Bagaimanapun, Al-Sultan Abdullah selepas mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin bagi membolehkan pelan pemulihan negara dan pelaksanaan Ordinan Darurat 2021 dibahaskan Ahli Dewan Rakyat. bh/-

Tiada ulasan: