31 Oktober 2021

PRN Melaka: Umno, Bersatu, PAS bertemu malam tadi

 

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

PORT DICKSON: Tiga parti teras orang Melayu dan Islam di negara ini mengadakan pertemuan malam tadi sebagai persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November ini.

Timbalan Presiden PAS Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, mesyuarat itu membabitkan pemimpin Umno, Bersatu dan PAS.

“Alhamdulillah ini satu perkembangan baik yang hendak saya kongsikan dengan perwakilan Dewan Pemuda Malaysia hari ini.

“Hasrat PAS untuk memperkasakan penyatuan ummah, Melayu dan Islam akhirnya tercapai selepas mengadakan pertemuan bersama ketiga-ketiga parti tersebut.

“Ini merupakan berita gembira, malam tadi kita mengadakan mesyuarat dengan semua parti ini sebagai persiapan menghadapi PRN Melaka, nampaknya PAS semakin dikehendaki semua parti ini, Umno pun menyatakan persetujuan bersama kita.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada Umno kerana mahu muafakat politik ini perlu dikekalkan, Bersatu pun begitu,” katanya ketika menyampaikan ucapan merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia di Corus Paradise Resort, di sini hari ini.

Muktamar Dewan Pemuda PAS kali ke-62 di Negeri Sembilan itu mengangkat tema Memacu Perpaduan bagi menzahirkan aspirasi pemuda PAS untuk berjiwa negarawan serta menjadikan agenda wehdah dalam peralihan pandangan politik abad ke 21.

Hadir sama pimpinan utama Dewan Pemuda PAS Malaysia dan bekas-bekas Ketua Dewan Pemuda PAS serta Timbalan Menteri Sumber Manusia Dato’ Awang Hashim.

Semalam Setiausaha Agung Umno Dato’ Seri Ahmad Maslan pada kenyataan media memberitahu Umno meneruskan hubungan dengan PAS melalui MN sebagaimana diputuskan pada Himpunan Agung Umno sebelum ini.

Sedangkan sebelum itu Presiden Umno Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam beberapa kenyataan seolah-olah membayangkan Umno dan Barisan Nasional (BN) akan bertanding secara solo di PRN Melaka.

Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata, perkembangan yang berlaku sekarang jelas menggambarkan PAS diperlukan parti-parti Melayu di negara ini.

Menurutnya juga agenda PAS bukan sekadar menyatukan parti-parti Melayu Islam, sebaliknya menyelamatkan dunia daripada kemurkaan Allah Taala.

Tuan Ibrahim yaang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, langkah itu dibuat selepas melihat cabaran masa depan yang bakal dihadapi jika semua parti Melayu dan Islam tidak bersatu dan sepakat bagi menghadapi PRN Melaka.

Menurutnya, kerjasama tersebut bukan membabitkan soal pembahagian kerusi semata-mata, malah kepentingan orang Melayu dan Islam akan terjejas sekiranya mandat rakyat dalam pilihan raya tersebut berubah kepada parti lawan, Pakatan Harapan.

Jelas beliau lagi, PAS mempunyai yang banyak sejarah kerjasama politik sebelum ini selepas negara mencapai kemerdekaan, bahkan sanggup memberi kerusi tradisi PAS kepada parti lain.

“Kita melihat sebenarnya cabaran masa depan ini ialah cabaran yang sangat besar sebab itu presiden kita menekankan soal asas kita jauh lebih besar dari soal kerusi, PAS mempunyai pengalaman panjang dalam politik negara.

“Dan tidak ada parti yang ada pengalaman muafakat politik sehebat PAS, kita boleh kompromi luar biasa yang jarang orang lain sanggup kompromi demikian, kita pernah bagi kerusi kepada parti lain, bahkan dengan parti-parti lain, nak sebut pun geram.” katanya. – HARAKAHDAILY 30/10/21

Tiada ulasan: