31 Oktober 2021

Empat daerah di Kedah dilanda banjir

Anggota Bomba membantu sebahagian mangsa banjir di Kampung Kotan, Mukim Jabi selepas dilanda banjir berikutan hujan turun tidak berhenti. - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir
Anggota Bomba membantu sebahagian mangsa banjir di Kampung Kotan, Mukim Jabi selepas dilanda banjir berikutan hujan turun tidak berhenti. - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir

ALOR SETAR: Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima laporan berkaitan banjir kilat di empat daerah di negeri ini, berikutan hujan lebat yang berlaku, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata empat daerah terbabit adalah Pokok Sena, Kubang Pasu, Baling dan Padang Terap.

Beliau berkata, lima pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) terbabit dalam operasi di daerah berkenaan iaitu BBP Alor Setar, Pokok Sena, Jitra, Baling dan Kuala Nerang.

 "Operasi menyelamat mangsa banjir di Pokok Sena membabitkan Kampung Kotan, Kampung Lubuk Macang, Kampung Rotan dan Kampung Kolon yang disertai anggota dari BBP Pokok Sena dan dibantu BBP Alor Setar.

"Operasi itu membabitkan pemindahan 16 mangsa daripada tiga keluarga di Kampung Kotan serta 11 mangsa di Kampung Lubuk Machang ke tempat selamat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, operasi menyelamat mangsa banjir yang membabitkan empat orang daripada satu keluarga di Jalan Kampung Kemunting Lama, Jitra selepas rumah mereka dilaporkan dinaiki air setinggi dua meter.

KEADAAN semasa di Taman Puteri yang dinaiki air banjir ketika tinjauan FotoBernama di sekitar Pokok Sena. Foto BERNAMA
KEADAAN semasa di Taman Puteri yang dinaiki air banjir ketika tinjauan FotoBernama di sekitar Pokok Sena. Foto BERNAMA

ANGGOTA Polis menjaga aliran lalu lintas bagi memudahkan kenderaan melepasi banjir apabila jalan Pokok Sena ke Kuala Nerang dinaiki air sejak petang tadi ketika tinjauan FotoBernama di sekitar Pokok Sena. - Foto BERNAMA

Beliau berkata, operasi disertai sepasukan anggota dari BBP Jitra yang bermula jam 5.18 petang tadi dan kesemua mereka dipindahkan dengan bantuan orang awam.

"Operasi menyelamat mangsa banjir di Kampung Kenyeng, Padang Terap pula membabitkan lima mangsa namun kesemua mereka enggan berpindah dan dalam keadaan selamat selepas air mulai surut.

"Operasi disertai anggota dari BBP Kuala Nerang," katanya.

Sementara itu di Baling, anggota BBP Baling menerima panggilan berhubung banjir kilat di Kampung Lubuk Pedati, yang membabitkan 13 rumah terjejas namun hanya tiga mangsa daripada satu keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Putra.

Mohamadul Ehsan berkata, anggota BBP Baling turut membantu menyelamat seorang mangsa banjir iaitu lelaki warga emas di Kampung Pulai, Baling ke PPS SK Pulai berikutan rumahnya dinaiki air.

Katanya, ini berikutan keadaan rumahnya hampir dengan sungai.

BHARIAN.

Tiada ulasan: