31 Oktober 2021

Sudan bersedia bagi protes rampasan kuasa berdarah

 Penunjuk perasaan membanjiri jalan-jalan Khartoum dan bandar kembarnya Omdurman berikutan penahanan awal pagi Perdana Menteri Abdalla Hamdok dan pegawai kanan lain Isnin lalu. - Foto AFP

Penunjuk perasaan membanjiri jalan-jalan Khartoum dan bandar kembarnya Omdurman berikutan penahanan awal pagi Perdana Menteri Abdalla Hamdok dan pegawai kanan lain Isnin lalu. - Foto AFP

KHARTOUM: Penunjuk perasaan antirampasan kuasa Sudan merancang untuk membanjiri jalan hari ini, bagi menentang pengambilalihan tentera yang menggagalkan peralihan negara kepada pemerintahan sivil dan mencetuskan pertempuran maut.

Isnin lalu, tentera menahan kepemimpinan sivil Sudan, membubarkan kerajaan dan mengisytihar darurat, membawa kepada kecaman antarabangsa.

Protes jalanan menentang rampasan kuasa mencetuskan tindakan keras pasukan keselamatan, menyebabkan sekurang-kurangnya lapan penunjuk perasaan terkorban, manakala hampir 170 cedera.

Walaupun berlaku pertumpahan darah, penunjuk perasaan tetap menentang dan penganjur berharap mengadakan perarakan 'jutaan yang kuat', menentang rampasan kuasa tentera, hari ini.

Aktivis hak asasi Sudan, Tahani Abbas, berkata mereka tidak akan diperintah tentera dan itulah mesej akan kami sampaikan ketika protes.

"Biarpun pasukan tentera berdarah dan tidak adil, kami menjangkakan apa akan berlaku di jalanan, tetapi kami tidak lagi takut," katanya.

Pengambilalihan pada Isnin lalu, diketuai ketua de facto Sudan, Jeneral Abdel Fattah al-Burhan, sejak penyingkiran autokrat lama Omar al-Bashir pada 2019 selepas protes besar diketuai golongan muda. Beberapa aktivis prodemokrasi sudah ditahan.

Menjelang perhimpunan hari ini, seorang pegawai Amerika Syarikat (AS) yang enggan dikenali, menjangkakan antara 20 hingga 30 angka kematian, selain menjelaskan protes itu akan menjadi 'ujian sebenar' bagi niat tentera Sudan.

"Kami menyeru pasukan keselamatan mengelak sebarang keganasan terhadap penunjuk perasaan dan menghormati sepenuhnya hak rakyat untuk berdemonstrasi secara aman," katanya.

Sebahagian besar talian telefon terputus menjelang pagi tadi, ketika pasukan keselamatan dikerahkan dalam jumlah besar di jalan raya dan menyekat jambatan menghubungkan ibu negara, Khartoum, dengan bandar berhampiran.

Pasukan keselamatan menyediakan pusat pemeriksaan dan memeriksa pejalan kaki secara rawak di jalan utama dan menggeledah kereta. - AFP

Tiada ulasan: