31 Oktober 2021

Ekonomi dijangka rancak dengan pembukaan empat pintu baharu sempadan

 

Hamzah (kiri) ketika melakukan lawatan ke Terminal Feri Desaru Coast, dekat sini hari ini.

KOTA TINGGI – Pembukaan empat pintu sempadan antarabangsa baharu negara, bakal merancakkan semula ekonomi bermula tahun hadapan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya telah bersedia untuk menerima kemasukan pelancong luar negara selepas pengumuman pembukaan pintu sempadan termasuklah di Terminal Feri Desaru Coast di sini.

Katanya, tiga lagi pintu sempadan antarabangsa iaitu di Teluk Malano dan Baleh di Sarawak serta Silika, Terengganu kini dalam pembinaan.

“Di Sarawak dalam pembinaan, Terengganu tidak lama lagi dalam tahun ini atau awal tahun depan dibuka juga dalam pembinaan yang telah bermula bulan Julai lalu.

“Semua kemudahan dalam pembinaan. Insya-Allah akan digunakan secepat mungkin. Ini kerana kita hendak memberi ruang orang masuk dan dari segi sektor ekonomi berjalan lancar.

“Setakat ini di Sarawak ada masalah sebab ia melibatkan kawasan begitu pedalaman sangat menyebabkan hubungan pintu masuk dan jalan besar ada isu. Namun baru-baru ini saya ada bincang dengan kerajaan negeri Sarawak ia boleh selesai dan kita akan umumkan secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke Terminal Feri Desaru Coast, Kota Tinggi, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan kerajaan kini dalam usaha mewartakan pintu masuk imigresen baharu melibatkan laluan laut di Sabah dan Terengganu selain laluan darat di Sarawak. -K! ONLINE

Tiada ulasan: