31 Oktober 2021

Menteri dakwa Sudan berada 'dalam tahanan'

 Penunjuk perasaan berhimpun di bandar Khartoum membantah rampasan kuasa tentera. FOTO AFP

Penunjuk perasaan berhimpun di bandar Khartoum membantah rampasan kuasa tentera. FOTO AFP

KAHERAH: Sudan kini berada 'dalam tahanan' sejak tentera merampas kuasa awal minggu ini, kata Menteri Luar, Mariam al-Mahdi.

"Kami semua dalam tahanan di bawah situasi ini apabila tidak boleh lagi berkomunikasi antara satu sama lain.

"Kami perlu bergantung kepada mereka yang kebetulan menghubungi dari luar negara dan meminta mereka memeriksa keadaan dalam negara," katanya.

Mariam juga antara menteri enggan berunding dengan Jeneral Abdel Fattah al-Burhan, yang mengetuai rampasan kuasa berkenaan.

Mariam yang juga pemimpin utama parti terbesar Sudan, Parti Ummah dan anak kepada bekas Perdana Menteri, Sadiq al-Mahdi, antara beberapa pemimpin yang tidak ditahan tentera.

Isnin lalu, tentera menahan Perdana Menteri, Abdalla Hamdok dan pegawai tentera lain, membubarkan kerajaan, mengisytiharkan darurat di seluruh negara dan melancarkan tindakan keras terhadap penunjuk perasaan yang berhimpun secara aman.

Perkhidmatan internet turut disekat secara besar-besaran sejak rampasan kuasa itu dan panggilan telefon juga sering terganggu.

Abdel Fattah mendakwa, sejak penyingkiran presiden Omar al-Bashir pada tahun 2019, tentera ketika ini mahu memperbetulkan keadaan peralihan pasca Omar.

Tiada ulasan: