31 Oktober 2021

10,000 masjid, surau berpontensi tubuh koperasi kariah masjid

 

ABDUL FATTAH Abdullah (kanan) menyampaikan sumbangan kepada seorang ahli Koperasi Masjid Kampung Lubuk Kulit di Lipis, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD

LIPIS: Sebanyak 10,000 masjid dan surau di seluruh negara berpontensi menubuhkan koperasi kariah sebagai platform meningkatkan pegangan ekuiti kek ekonomi negara.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, statistik terkini terdapat 6,300 masjid dan 17,000 surau yang menjadi tumpuan masyarakat Islam beribadah serta menjalankan kegiatan kemasyarakatan.

“Daripada bilangan itu, hanya 500 buah menubuhkan Koperasi Kariah Masjid sebagai pemangkin membangunkan ekonomi masyarakat Islam.

“Angkasa menggalakkan kariah masjid dan surau menubuhkan koperasi sendiri supaya dapat menjadi ejen pengeluaran serta mengedar produk halal kepada masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Masjid Kampung Lubuk Kulit, di sini hari ini.

Abdul Fattah berkata, usaha perlu ditingkatkan bagi mengembalikan fungsi masjid bukan sahaja tempat ibadah tetapi pusat membangunkan ekonomi setempat serta memberi kesan positif kepada negara.

Tegasnya, penubuhan koperasi adalah antara strategi meningkatkan pegangan ekuiti bumiputera yang kini hanya 20 peratus yang tidak bagus kepada kemajuan ekonomi serta pembangunan negara.

Menurutnya, perbezaan besar jurang ekuiti kek ekonomi negara dimiliki masyarakat bumiputera Islam dengan pihak lain sebagai bom jangka yang perlu diatasi segera.

“Oleh itu penubuhan koperasi kariah masjid dapat berfungsi sebagai rangkaian pembekalan produk halal yang diperlukan masyarakat. 

“Koperasi Kariah Masjid dan surau boleh berfungsi sebagai outlet dalam bidang peruncitan dan pemborong produk halal keluaran bumiputera dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tiada ulasan: