31 Oktober 2021

'Nampak positif ke arah perpaduan' - Mursyidul Am PAS

 Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin. - NSTP/ARKIB

Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin. - NSTP/ARKIB

KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin memberi gambaran terdapat perkembangan positif mengenai kerjasama politik di antara parti itu dan sekutunya, termasuk isu penggunaan logo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Katanya, perkara itu bagaimanapun belum dimuktamadkan kerana mesyuarat Majlis Syura Ulama PAS yang turut membincangkan isu berkenaan masih berlangsung.

"Kebetulan saya baru keluar dari mesyuarat Majlis Syura dan isu ini kita bincangkan, tapi belum dimuktamadkan, (mesyuarat) masih bincang, baik buruknya, apa semuanya, masih dibincangkan Saya nampak secara umum positif, ada baik buruknya, tetapi keseluruhannya positif ke arah perpaduan," katanya kepada BH, hari ini.

Secara dasar, apa juga keputusan yang dicapai di peringkat Majlis Syura Ulama akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk dimutamadkan sama ada sesuai dilaksanakan atau tidak.

Khamis lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membuat ketetapan untuk meneruskan kerjasama dengan PAS, dengan syarat parti itu mesti menggunakan lambang sendiri.

Semalam pula, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan berusaha untuk mengelak pertembungan tiga penjuru antara parti dalam kerajaan, termasuk dengan BERSATU pada PRN Melaka 20 November ini.

Perdana Menteri turut memaklumkan beliau diberi mandat oleh UMNO untuk berunding dengan PAS dan BERSATU bagi memastikan pertembungan sesama sendiri pada pilihan raya dapat dielakkan serta bagi menentukan bentuk kerjasama pada PRN Melaka selaras mandat yang diberi MKT UMNO.

BHARIAN.

Tiada ulasan: