PETALING JAYA : Skuad bawah 23 (B-23) tahun negara kembali menghangatkan pentas tertinggi Asia apabila pasukan muda negara itu layak secara automatik ke Piala Asia B-23 di Uzbekistan, dari 1-19 Jun tahun depan.
Kejayaan layak secara merit itu hadir menerusi kejayaan muncul juara Kumpulan J pada kempen kelayakan yang berlangsung di Ulaanbaatar, Mongolia selepas mengumpul tujuh mata daripada tiga aksi.
Keputusan seri tanpa jaringan dengan Thailand di Stadium MFF, Ulaanbaatar hari ini mengesahkan kedudukan skuad negara di tangga teratas sekali gus mengulangi pencapaian skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee pada 2018 lalu yang berjaya layak ke pusingan akhir di China.
Thailand yang turun dengan misi wajib menang terpaksa akur menamatkan kempen kelayakan di bawah Malaysia dan anak didik Worrawoot Srimaka gagal ke peringkat seterusnya.
Turun dengan misi meraih sekurang-kurangnya satu mata, anak buah Brad Maloney berjaya menguasai sebahagian besar perlawanan dengan skuad muda Gajah Perang lebih banyak bertahan namun ketumpulan jentera serangan menyaksikan tiada sebarang gol dapat dihasilkan pada babak pertama.
Peluang paling hampir untuk membuka tirai jaringan adalah menerusi sepakan percuma kapten Muhammad Mukhairi Ajmal yang sedikit tersasar di minit ke-30, disusuli percubaan Azhad Harraz Arman tujuh minit kemudiaan.
Bersambung babak pertama, Thailand berdepan detik cemas namun tandukan pertahanan negara, Harith Haiqal Adam sekadar menggegar palang yang berpunca dari sepakan sudut Mukhairi.
Menuju penghujung perlawanan Thailand meningkatkan tempo serangan dengan mencipta beberapa peluang namun gagal menewaskan penjaga gol negara, Azri Ghani yang beraksi cukup cemerlang.
UTUSAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan