SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar jumlah jemaah untuk solat Jumaat dinaikkan bagi masjid dan surau dengan kebenaran solat berkenaan di seluruh negeri ini.
Dalam satu kenyataan dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office hari ini, baginda menitahkan agar Masjid Negeri atau Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, boleh menerima kehadiran sehingga 3,500 jemaah berbanding 2,000 ketika ini.
"Jumlah jemaah solat Jumaat di masjid-masjid daerah pula boleh dinaikkan kepada antara 700 hingga 1,000 bergantung kepada kapasiti masing-masing.
"Masjid-masjid institusi pula ditambah jemaah solat Jumaat kepada antara 500 hingga 1,200, sementara masjid pengurusan antara 400 hingga 700 jemaah," kata kenyataan berkenaan.
Menurut kenyataan terbabit, pertimbangan dan keputusan itu diambil setelah baginda meneliti data-data terbaharu penularan COVID-19 yang memperlihatkan statistik kematian harian menurun kepada satu digit bagi Selangor.
"Mengikut statistik sehingga 27 Oktober lalu, jumlah kematian akibat COVID-19 di Selangor berjumlah 9,581 orang di mana separuh terdiri daripada orang Melayu beragama Islam.
"Bagaimanapun, dengan kelonggaran terbaharu ini, baginda dengan tegas mengingatkan jemaah agar mengambil serius dan terus berhati-hati serta sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ketika beribadat di dalam masjid," kata kenyataan itu lagi.
Pada masa sama, Sultan Sharafuddin juga berharap agar semua rakyat sama-sama menggalas tanggungjawab untuk mengatasi penularan wabak COVID-19 ini.
"Kita mesti menang dan kembali menjalani kehidupan seperti sediakala. Baginda tidak mahu kelalaian dalam mematuhi SOP ini menjadi punca kes positif COVID-19 kembali meningkat dan seterusnya memungkinkan berulangnya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Tegas baginda, rakyat tidak mampu lagi berdepan dengan satu lagi 'lockdown' seperti sebelum ini yang ternyata menyusahkan kehidupan seharian rakyat sehingga menjejaskan sumber pendapatan.
"Justeru, baginda menyeru sekalian rakyat khususnya umat Islam agar menunaikan solat dan terus memohon doa ke hadrat Allah SWT. agar negeri dan negara dijauhi daripada wabak penyakit, bala dan malapetaka," menurut kenyataan itu.
BHARAIAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan