02 Januari 2022

Populasi dunia meningkat 74 juta orang

 

NEW YORK: Populasi dunia menyaksikan peningkatan sebanyak 74 juta orang sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan penduduk dunia adalah sebanyak 7.8 bilion orang bagi tahun 2021.

Lapor Daily Mail, biro bancian Amerika Syarikat (AS) mengumumkan China masih mendominasi sebagai negara yang mempunyai populasi paling ramai di dunia dengan 1.4 bilion penduduk.

India pula merekodkan 1.38 bilion penduduk, AS (332 juta), Indonesia (275 juta) dan Pakistan (238 juta).

Angka bagi 2021 menunjukkan kadar pertumbuhan populasi global adalah sebanyak 0.9 peratus iaitu lebih rendah daripada unjuran 0.96 peratus.

Walaupun populasi global masih meningkat secara keseluruhan, kadar peningkatan didapati menurun secara konsisten sejak pertengahan 1960an apabila hanya meningkat dua peratus.

Separuh daripada penduduk dunia tinggal di negara-negara yang menyaksikan kadar kesuburan seumur hidup rendah dengan bilangan anak yang jangka dilahirkan oleh wanita secara purata di bawah dua orang.

Menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), populasi global akan terus meningkat sehingga 2100, tetapi pertambahan akan tertumpu di tempat yang semakin sedikit.

Lebih separuh daripada pertumbuhan penduduk dalam tiga dekad akan datang dijangka tertumpu di hanya lapan negara berikut iaitu Republik Demokratik Congo, Mesir, Ethiopia, India, Indonesia, Nigeria, Pakistan, Tanzania dan AS.

Dalam pada itu, 55 negara pula dijangka menyaksikan penurunan populasi sebanyak satu peratus atau lebih dalam tempoh sama.

Kejatuhan paling ketara akan berlaku di Bulgaria, Latvia, Lithuania dan Ukraine dengan populasi dijangka menurun sebanyak 20 peratus.

PBB meramalkan trend tersebut akan didorong akibat kejatuhan kadar kesuburan serta faktor penghijrahan penduduk.

Hal ini bermakna, semakin banyak negara perlu berhadapan dengan populasi yang semakin tua apabila beban menjaga bilangan warga emas semakin meningkat berbanding bilangan rakyat yang bekerja.

Penduduk dunia yang berumur lebih daripada 65 tahun akan melebihi jumlah bilangan orang muda berusia 15 hingga 24 tahun.

UTUSAN.

Tiada ulasan: