Oleh SARINA ISMAIL
SUNGAI PETANI: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan pihaknya sudah melantik panel peguam untuk menguruskan tuntutan caj air mentah terhadap kerajaan DAP Pulau Pinang.
Menurutnya tindakan itu membuktikan kerajaan negeri sangat serius dalam dalam isu berkenaan setelah sekian lama permintaan tidak diendahkan negeri itu.
“Kita sudah lantik panel peguam menerusi konsultan (juru runding), kita juga masih melihat seorang dua lagi peguam senior untuk menyertai panel berkenaan,” ujarnya pada sidang media sempena Program Kayuhan Santai Keluarga Sejahtera Bersama MB di Dataran Jam Besar Sungai Petani, di sini, semalam.
Sebelum ini, pihaknya telah mengemukakan tuntutan bertulis kepada Pulau Pinang untuk mengenakan caj air mentah sebanyak RM50 juta setahun, berikutan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mendapat bekalan air dari Sungai Ulu Muda yang berpunca dari Kedah.
Namun tuntutan itu tidak dilayan malah Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow beranggapan penggunaan air oleh negeri itu khususnya di kawasan sempadan adalah sejajar dengan hak dan undang-undang antarabangsa.
Tegas Sanusi lagi, pihaknya sangat serius dalam tuntutan caj air mentah ini dengan apa cara sekalipun mengikut batasan undang-undang yang dibenarkan.
Katanya, tuntutan itu bukanlah menjadi harapan beliau sahaja malah semua rakyat Kedah dan komited menyerahkan tindakan lanjut kepada panel peguam yang dilantik bagi melihat cara terbaik untuk memulakan proses tindakan undang-undang terhadap Pulau Pinang.
“Kita bukan orang purba hendak redah pergi begitu sahaja, Syarikat Air Darul Aman (SADA) pun membuat bayaran kepada Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK).
“Jadi harap Pulau Pinang pun bayar lah, saya sudah serius tapi depa (Pulau Pinang) yang tak serius,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 2/1/2021
Tiada ulasan:
Catat Ulasan