02 Januari 2022

Lapangan terbang AS huru-hara

 Penumpang menyemak semula jadual penerbangan lapangan Terbang Antarabangsa Ronald Reagan di Washington, Amerika Syarikat (AS) susulan banyak penerbangan dibatalkan akibat ancaman COVID-19. - Foto AFP

Penumpang menyemak semula jadual penerbangan lapangan Terbang Antarabangsa Ronald Reagan di Washington, Amerika Syarikat (AS) susulan banyak penerbangan dibatalkan akibat ancaman COVID-19. - Foto AFP

WASHINGTON: Perkhidmatan penerbangan di Amerika Syarikat (AS) terus berdepan gangguan teruk semalam berikutan cuaca buruk di beberapa bahagian di negara itu.

Sebahagian besar penerbangan terpaksa dibatalkan susulan lonjakan jangkitan COVID-19 secara besar-besaran khususnya membabitkan varian Omicron.

Menurut laman sesawang FlightAware, 2,604 penerbangan di AS dibatalkan iaitu lebih separuh daripada 4,529 jumlah keseluruhan penerbangan yang dibatalkan di seluruh dunia, selepas jam 4.30 petang waktu tempatan.

Dalam pada itu, 3,447 penerbangan domestik ditangguhkan daripada 7,602 jumlah penerbangan itu di seluruh dunia semalam.

Menurut laman sesawang sama, syarikat penerbangan Southwest paling teruk terjejas susulan terpaksa membatalkan 13 peratus daripada jadual penerbangannya.

Lapangan terbang di Chicago paling terkesan disebabkan cuaca buruk dengan ribut salji berlaku di kawasan itu pada petang dan malam tadi.

Pada masa sama, industri penerbangan global masih berdepan ancaman varian Omicron yang lebih pantas menular.

Ramai juruterbang, pramugari dan kakitangan lain tidak hadir bekerja selepas dijangkiti COVID-19 atau dikuarantin kerana mempunyai kontak dengan mereka yang dijangkiti.

Untuk rekod, kira-kira 7,500 penerbangan telah dibatalkan oleh syarikat penerbangan di seluruh dunia pada hujung minggu sambutan Krismas. - AFP

Tiada ulasan: