PETALING JAYA: Indonesia cuba melakukan kebangkitan, namun gagal menyekat Thailand daripada merangkul kejuaraan Piala AFF buat kali keenam di Singapura, sebentar tadi.
Skuad Garuda mengikat Gajah Perang 2-2 dalam final kedua tetapi kekalahan besar 0-4 pada perlawanan pertama menafikan impian mereka untuk menjulang kejuaraan sulung apabila tumpas secara agregat 2-6.
Thailand muncul satu-satunya pasukan yang tidak kalah dalam semua saingan mereka pada Piala AFF 2020, malah menang enam daripada lapan perlawanan.
Kemenangan anak-anak buah Mano Polking itu membolehkan mereka merampas semula mahkota pasukan terbaik Asia Tenggara yang sebelum ini dipegang oleh Vietnam.
Dalam aksi di Stadium Nasional itu, Indonesia menunjukkan kesungguhan untuk bangkit dengan melancarkan serangan sejak awal permainan.
Skuad Garuda yang beraksi di pentas akhir buat kali keenam membuka jaringan seawal minit kelima menerusi bintang tengah Persebaya Surabaya, Ricky Kambuaya.
Ketinggalan 0-1 pada separuh masa pertama memaksa Thailand membuat pertukaran pemain di babak kedua.
Pemain gantian, Adisak Kraisorn menukar corak permainan Gajah Perang dan meledak gol penyamaan pada minit ke-54, sebelum Sarach Yooyen mematahkan semangat Indonesia dengan gol kedua Thailand, dua minit berselang.
Biarpun cuba mengejar menerusi jaringan Egy Maulana Vikri 10 minit sebelum tamat permainan, namun tiada apa yang mampu dilakukan Garuda untuk menyekat Thailand daripada menjulang kejuaraan.
UTUSAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan