02 Januari 2022

Hijau Durian Asnaf Sik giatkan industri pertanian

 

Oleh SARINA ISMAIL

SIK: Program ‘Hijau Durian Asnaf Daerah Sik’ anjuran Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Sik (PUSRASIK) dijangka dapat membantu golongan asnaf di daerah itu untuk menggiatkan usaha dalam bidang pertanian.

Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, program itu diadakan di tiga lokasi iaitu di Seri Enggang Semaian, Sungai Pau, di Semaian Sik Dalam dan Dewan Komuniti Masjid Qariah Charok Tok Uban.

“Program ini melibatkan kedua-dua Dun di Parlimen Sik, Jeneri dan Belantik dan akan memberi manfaat kepada golongan asnaf (B40) mempergiatkan usaha dalam bidang pertanian khususnya dalam penanam durian bermula secara kecilan di kawasan tanah yang terhad di sekeliling rumah mereka,” jelas beliau dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya lagi, sekiranya penanaman itu berhasil secara tidak langsung akan menambah pendapatan mereka apatah lagi permintaan durian ketika ini di pasaran sangat menggalakkan.

Selain itu durian juga dijangka akan mendapat pasaran lebih tinggi pada beberapa tahun akan datang.

“Usaha ini juga sedikit sebanyak dapat menambahkan lagi kehijauan daerah Sik yang sangat baik untuk kelestarian alam sekitar sekeliling,” kata beliau lagi.

Ujar Tarmizi, seramai 408 peserta terpilih pada program ini termasuk sebahagian besarnya dari kalangan ibu tunggal selain 95 orang dari kalangan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) daerah Sik.

Sementara sebanyak 1,500 anak pokok durian ‘duri hitam’ diagihkan kepada peserta yang terpilih pada program terbabit.

“Semoga program ini ada manfaat untuk menyuburkan lagi daerah Sik dengan tanaman hijau durian ini disamping dalam menambahkan serba sedikit hasil pendapatan kepada peserta apabila pohon-pohon yang ditanam ini mengeluarkan hasil buah nanti,” tambahnya lagi.

Turut hadir Adun Belantik, Ustaz Mohd Isa Shafie, Penolong Pegawai Daerah Sik, Amin Ezat, Penghulu Mukim Jeneri, Fazaidi Saidin, Penghulu Mukim Teloi Yusof Abdul Rashid, serta anggota polis yang memantau sepanjang program dijalankan. – HARAKAHDAILY 2/1/2021

Tiada ulasan: