27 Disember 2011

Lalat bagaikan berpesta

2 Safar 1433H. [MOD] -

KAMPUNG GEMBUT - Dalam hanya beberapa jam sahaja, puluhan lalat melekat pada kertas pelekat yang diletakkan di kedai salah seorang peniaga, di sini.

Peniaga, Suhana Pani, 38, berkata, ekoran keadaan itu dia yang mengusahakan kedai makanan sangat terganggu dengan serangan serangga berkenaan setiap hari tanpa mengira waktu.

Menurutnya, meskipun dia mengutamakan kebersihan di kedainya dengan membersihkan lantai dan meja serta membakar sampah yang ada, keadaan masih
tetap sama.

“Pelanggan yang datang ke kedai ini berasa tidak selesa apabila lalat mula mengerumuni makanan dan minuman mereka. Malah, kadang kala saya juga terpaksa menukar minuman yang dipesan pelanggan beberapa kali apabila lalat masuk ke dalamnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Penduduk, Ruzita Manap, 30, berkata, lalat berkenaan muncul semakin banyak terutama selepas hujan.

Menurutnya, masalah serangan serangga itu dipercayai berpunca daripada kewujudan reban penternakan ayam di kawasan berhampiran.

“Lalat yang hinggap pada peralatan rumah turut meninggalkan kesan hitam dan ia amat menggelikan serta boleh dikatakan hampir 24 jam lalat ini berkeliaran. Malah, apabila tiba waktu tidur kami terpaksa mematikan lampu bagi mengelakkan lalat berkenaan yang turut mengeluarkan bunyi bising.

“Lebih meresahkan, lalat yang hinggap pada makanan di rumah turut berpotensi menyebarkan kuman pembawa penyakit. Kami bimbang tahap kesihatan diri dan keluarga ekoran lalat yang terlalu banyak,” katanya.

Ruzita berkata, mereka memohon agar pihak bertanggungjawab dapat membuat pantauan seterusnya menyelesaikan masalah yang dihadapi demi keselesaan penduduk.

Sinar Harian

Tiada ulasan: