27 Disember 2011

Operasi buru geng curi motor

2 Safar 1433H. [MOD] -

KLUANG - Dalam masa dua minggu sahaja polis daerah ini berjaya menangkap 14 lelaki yang terlibat dalam kes curi motosikal di kawasan sarang penagih dadah, rumah kosong dan ladang di sekitar Simpang Renggam, Layang-Layang, Kluang dan Sri Lalang.

Operasi berkenaan telah dijalankan di semua balai yang berada di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang berikutan jenayah mencuri motosikal semakin berleluasa di daerah ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan Mohd Noor Mohamed berkata, operasi berkenaan dijalankan sejak 1 November hingga 16 Disember lalu dan akan diteruskan sehingga hujung bulan ini.

“Hasil operasi yang dijalankan telah menangkap seramai 14 lelaki terdiri daripada 12 lelaki tempatan dan dua lelaki warga asing yang berjaya ditangkap di lokasi berlainan.

“Anggaran umur kesemua suspek dalam lingkungan 24 hingga 45 tahun dan beberapa orang suspek juga mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah seperti lain-lain kes curi,” katanya kepada media di IPD Kluang, baru-baru ini.

Menurutnya, hasil siasatan yang dijalankan juga mendapati beberapa suspek positif dadah setelah ujian air kencing dijalankan ke atas mereka.

Mohd Noor berkata, dengan tertangkapnya suspek berkenaan, polis berjaya merampas 11 motosikal melibatkan tujuh kes bagi Kluang, satu kes di Ayer Bemban, Kulai; satu kes di Ayer Hitam, Batu Pahat; satu kes di Masai, Seri Alam dan satu kes di Bukit Indah, Nusajaya.

“Kesemua suspek telah direman di bawah Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan (KK) dan beberapa suspek telah dituduh di bawah Seksyen 379(A) KK dan Seksyen 411 KK kerana memiliki barang curi.

“Manakala, suspek yang masih lagi dalam reman akan terus disoal siasat dan bagi tangkapan luar daerah Kluang akan dirujuk kepada pihak IPD masing-masing,” katanya.

Sinar Harian

1 ulasan:

Awanama berkata...

salam tuan kawasan pandan perdana pendatang asing menggunakan motor curi contoh sebuah warga asing pati mebawa sebuah motor jenis ego warna putih jenis ego WYG 7295 HARAF PIHAK TUAN DAPAT SALURKAN MAKLUMAT SEBAB RAMAI PATI YANG MENGUNAKAKAN MOTOR CURI TERUTAMA JALAN 4/3 PANDAN PERDANA WPKL KL