27 Disember 2011

Padah lumba motor bapa

2 Safar 1433H. [MOD] -

PENAGA - Seorang remaja maut, manakala tiga rakannya cedera selepas terlibat kemalangan sesama sendiri semasa berlumba haram di Jalan Lahar Kepar di sini, petang kelmarin.

Mangsa, Muhamad Ikmal Aliff Suhazi, 15, mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian apabila motosikal dinaikinya merempuh sebatang pokok di tepi jalan selepas bergesel dengan dua lagi motosikal yang dinaiki tiga rakannya dalam kejadian sekitar jam 6 petang, kelmarin.

Muhamad Ezzat Faisal Mazlan, 16, Muhamad Asyraf Helmi, 19, dan pembonceng sebuah motosikal, Mohamad Rafiz Mat Rozhi, 19, cedera ringan dan diberikan diberikan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kepala Batas.

Ketua Trafik/Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Superintendan Suhaimi Mohd Noor berkata, empat remaja berkenaan dikatakan berlumba haram di kawasan terbabit menggunakan tiga motosikal milik bapa masing-masing.

“Ketika memecut laju untuk mendahului antara satu sama lain, motosikal yang ditunggang mangsa dikatakan bergesel dengan dua motosikal dinaiki rakannya mengakibatkan semua motosikal itu terbalik.

“Motosikal ditunggang mangsa terbabas dan merempuh sebatang pokok di tepi jalan, manakala dua motosikal rakannya menggelongsor sejauh hampir 100 meter sebelum terhumban di tepi tali air di kawasan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1)a Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang melulu dan berbahaya.

Bagaimanapun usaha Sinar Harian untuk menemu bual keluarga si mati dan rakannya yang cedera di hospital berkenaan gagal, kerana tidak dibenarkan oleh ahli keluarga remaja terbabit.

Sinar Harian

Tiada ulasan: