27 Disember 2011

OKU minta ganti rugi

2 Safar 1433H. [MOD] -

SITIAWAN - Seorang nelayan orang kurang upaya (OKU) memohon sebuah syarikat perkapalan yang melanggar pukatnya supaya membayar ganti rugi atas kerosakan alat itu.

Nelayan, B Satheswaran, 32, berkata, pelanggaran itu berlaku ketika dia sedang menangkap ikan berhampiran pengekalan polis marin Kampung Acheh pada 20 Disember lalu.

Menurutnya, pada masa itu, dia sedang menangkap ikan dan tiba-tiba sebuah kapal milik syarikat itu melanggar pukatnya dan menyebabkan 15 pukat rosak.

“Saya juga memasang bendera pada bot kecil milik saya sebagai isyarat ada nelayan yang memasang pukat di kawasan berkenaan.

“Namun saya sendiri tidak pasti adakah mereka nampak atau tidak bendera berkenaan sehinggakan mereka melanggar pukat saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Satheswaran berkata, akibat kerosakan pukat berkenaan, hasil pendapatannya sebagai nelayan semakin kurang.

Jelasnya, dia juga tidak mampu untuk memperbaiki pukat berkenaan kerana memerlukan modal yang besar dan perlu menanggung kehidupan isteri, A Murugayi, 33, serta tiga anaknya.

“Anak saya masih kecil berumur lima tahun hingga dua bulan, pendapatan sebagai nelayan pula tidak seberapa menyebabkan saya tidak mampu memperbaiki pukat berkenaan.

“Kerugian yang saya alami akibat kerosakan itu dianggarkan sebanyak RM2,500 dan saya berharap pihak berkenaan dapat membayar ganti rugi tersebut,” katanya.

Dia berkata, perkara itu juga sudah dibawa kepada pengetahuan persatuan nelayan yang dinaunginya.

Katanya, pihak persatuan turut menyokong supaya syarikat berkenaan membayar ganti rugi kepadanya dengan menghantar surat kepada pihak berkenaan.


“Pendapatan saya juga tidak menentu dan purata bulanan sebanyak RM1,000 yang juga akan digunakan untuk membayar sewa rumah sebanyak RM450 sebulan.

“Jika musim hujan saya perlu kurangkan ke laut kerana bimbang keselamatan diri dan bot saya juga hanya bot kecil,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: