27 Disember 2011

Lori bergerak tanpa pemandu

2 Safar 1433H. [MOD] -

ALOR GAJAH - Keseronokan seorang pemandu lori menikmati sarapan paginya terbantut apabila kenderaan yang diberhentikan di tepi jalan mengundur ke belakang secara tiba-tiba dan menuju ke rumah seorang penduduk.

Dalam kejadian kira-kira 8.45 pagi itu, pemandu lori terbabit, Ramli Mohamad, 50, dari bandar Melaka menuju ke Alor Gajah berhenti sebentar di Kelemak untuk bersarapan pagi, sebelum meneruskan perjala­-nan ke Lendu untuk mengambil kayu getah.

“Saya sudah pastikan brek tangan ditarik dan semuanya sempurna tapi entah macam mana sebaik saya turun dari lori dan tutup pintu, tiba-tiba sekumpulan pelanggan di kedai minum berdekatan menjerit kepada saya memberitahu lori bergerak.

“Saya terus berusaha mengejar lori tanpa muatan yang meluncur laju mengundur, walaupun sebenarnya tahu saya tidak mungkin dapat mem­ber­hentikannya.

“Dalam sekelip mata bunyi berdentum kuat dan saya perhatikan lori saya sudah merempuh sebuah Proton Wira milik yang diletakkan di hada­-pan sebuah rumah,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Berikutan pelanggaran itu, kereta milik tuan rumah berkenaan remuk teruk di bahagian depan serta pecah cermin depan.

Sementara itu, saksi kejadian, Nur Shahidah Jazmi, 16, berkata, dia melihat sendiri lori berkenaan terus menghimpit kereta bapanya sebelum bertindak memanggil ibunya di dapur.

“Waktu itu saya sedang menyapu lantai di dalam rumah. Saya terkejut dengan bunyi dentuman kuat sebelum menjenguk ke luar mendapati sebuah lori sudah merempuh kereta ayah saya,” katanya.

Kemalangan itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemala­-ngan jiwa, sebaliknya tayar bahagian depan lori tersangkut pada longkang di tepi rumah.

Sinar Harian

Tiada ulasan: