27 Disember 2011

Isu Khir Toyo malukan rakyat: Siti Zailah

2 Safar 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman penjara setahun terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo kerana menggunakan kedudukannya untuk membeli rumah mewah dan tanah ternyata memalukan rakyat.

Ketua Muslimat Pas Pusat, Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, satu demi satu penyalahgunaan kuasa pada kalangan pemimpin Umno dan Barisan Nasional berjaya dibuktikan dan ia menunjukkan dakwaan pembangkang selama ini adalah benar.

“Pas percaya banyak lagi isu-isu seumpama itu dipercayai melibatkan pemimpin dan bekas pemimpin tertinggi parti itu yang perlu disiasat pihak bertanggungjawab. Kes Khir Toyo ini salah satu bukti yang jelas kepada rakyat siapa sebenarnya mereka.

“Syabas kepada mahkamah yang kerana memberikan hukuman tanpa mengira kedudukan individu. Masih ramai lagi bekas-bekas pemimpin parti itu yang memiliki kekayaan luar biasa dan ini perlu diselidik segera,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Katanya, diharapkan keputusan itu memberi pengajaran kepada pemimpin-pemimpin parti politik lain kerana mahkamah tidak melindungi sesiapapun walaupun bekas pemimpin tertinggi.

Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati Dr Mohd Khir Toyo bersalah atas tuduhan rasuah dan dipenjara 12 bulan mulai tarikh jatuh hukum dan memerintahkan harta terbabit dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

Hukuman penjara itu dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan manakala perintah melucut hak harta tersebut pula dibuat mengikut Seksyen 36(1) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 1997.

Beliau dituduh mendapatkan untuk diri dan isterinya, dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarahnya, Shamsuddin Hayroni.

Hartanah yang terletak di Seksyen 7 diperoleh dengan harga RM3.5 juta, sedangkan ia dibeli Ditamas pada 23 Dis 2004 pada harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr Mohamad Khir mengetahui Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasmi beliau sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Sinar Harian

Tiada ulasan: