03 Januari 2012

11 sekolah dua daerah diarah tutup akibat banjir

9 Safar 1433H. [MOD] -

RANTAU PANJANG – Sebanyak 11 sekolah di dua daerah iaitu sembilan di Pasir Mas dan dua di Gua Musang diarahkan tutup seterusnya tidak dapat memulakan sesi baru persekolahan tahun 2012, berikutan terputus hubungan serta kawasan sekolah dinaiki air.

Berikutan itu, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) terpaksa menutup sesi persekolahan baru 2012 yang bermula hari ini, bagi menjaga keselamatan pelajar sekolah terlibat.

Sekolah terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bihai, SK Balar, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, SK Rantau Panjang, SK Sri Rantau Panjang Satu, SK Sri Rantau Panjang 2, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Khay Boon, SK Lubok Setol, SK Kok Pauh,
Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Alfalah Siram dan SABK Diniah Bongor.

Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussain Awang, berkata, dua sekolah di Gua Musang iaitu SK Balar dan SK Bihai terpaksa ditutup kerana terputus hubungan sementara sekolah lain ditutup kerana dinaiki air serta jalan menghubungkan sekolah dengan jalan utama dinaiki air.

“Penutupan 11 sekolah di dua daerah ini menyebabkan 4,042 murid dan pelajar tidak dapat memulakan sesi persekolahan 2012.

“Permulaan untuk sesi persekolahan bagi sekolah terlibat akan dimaklumkan kemudian,” katanya kepada Sinar Harian sewaktu membuat tinjauan banjir sekitar Rantau Panjang, petang semalam.

Dalam pada itu, banjir di Pasir Puteh hampir pulih apabila hanya dua pusat penempatan dibuka melibatkan 73 mangsa dari 19 keluarga yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Bukit Awang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Kamil.

Sinar Harian

Tiada ulasan: