03 Januari 2012

Enam Nelayan Nyaris Maut, Dua Bot Berlanggar

9 Safar 1433H. [MOD] -

BUKIT MERTAJAM: Sembilan nelayan nyaris maut apabila dua buah bot yang mereka naiki berlanggar di perairan Pulau Kendi, dekat sini pada Isnin.

Dalam kejadian pukul 1.30 petang itu, sebuah bot yang dinaiki enam nelayan dalam perjalanan pulang ke Jeti Juru merempuh sebuah bot yang berlabuh dinaiki tiga lelaki lain.

Azlan Abdul Manaf, 29 yang mengemudi bot itu, berkata cuaca panas terik mengganggu penglihatannya menyebabkan botnya tersasar sebelum melanggar bot yang sedang berlabuh di hadapannya.

"Masa itu saya terlalu penat memandangkan kami mula keluar ke laut pada pukul 12 malam tadi. Kejadian ini berlaku secara mengejut dan saya sendiri tidak pasti bagaimana ia bermula," katanya ketika ditemui pemberita, di sini Isnin.

Azlan berkata kemalangan itu mengakibatkan tiga lelaki dari sebuah lagi bot tercampak ke dalam air dan hampir lemas, namun mereka sempat diselamatkan.

Sementara itu bapanya, Abdul Manaf Ahmad, 54, berkata semasa kejadian beliau sedang duduk dan terkejut apabila bot yang dinaiki bergegar diikuti bunyi dentuman yang kuat.

"Bunyinya seperti bom. Saya terkejut dan tergamam kerana bot hampir karam kerana dinaiki air mujurlah saya sempat melompat keluar ke bot yang satu lagi," katanya.

Abdul Manaf berkata bot miliknya mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan, manakala bot yang dilanggar mereka terjejas sedikit di bahagian belakang. - BERNAMA

Tiada ulasan: