03 Januari 2012

Gara-gara tertidur, kediaman musnah

9 Safar 1433H. [MOD] -

CHENDERONG BALAI - Gara-gara tertidur, seorang pemuda tidak sedar ketulan daging (nuget) yang sedang digoreng di dapur mengakibatkan rumahnya Parit 11, Lorong Haji Sabran, di sini, terbakar, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa, Mohd Razali Baharuddin, 40, bekerja sebagai tukang rumah dikatakan tidur dalam biliknya di.

Dia tersedar daripada tidur dan menyedari rumahnya terbakar apabila terasa bahang panas dari arah dapur.

Ibu mangsa, Bastiah Khalid, 65, berkata, anaknya turut mengalami melecur kira-kira 40 peratus di bahagian muka, badan serta kaki akibat kebakaran itu.

Menurutnya, kini Mohd Razali mendapatkan rawatan di Unit Kawalan Rapi (ICU) di Hospital Teluk Intan.

“Ketika kejadian, makcik dan suami, Baharudin 0mar, 86, tiada di rumah kerana pergi menziarahi saudara di Sungai Besar, Selangor.

“Makcik mengetahui rumah itu terbakar apabila anak sulung makcik, Mohd Murad, 50, memberitahu kejadian berkenaan menerusi panggilan telefon,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Ibu kepada lapan anak itu berkata,sebaik sahaja menerima panggilan berkenaan, dia dan suami terus bergegas pulang ke Chenderong Balai.

Jelasnya, kini, mereka tiga beranak tinggal sehelai sepinggang kerana semua barangan hangus dalam kebakaran yang berlaku kelmarin.

“Rumah yang kami duduki sejak 10 tahun lalu hangus dalam kebakaran dan kerugian dianggarkan sekitar RM58,000,” katanya.

Gagal padamkan api

Ketua kampung Tebuk lmam Subari/Pengkalan Daun, Mohd Ehsan Sadimo, 61, berkata, penduduk cuba membantu menyelamatkan barang dalam rumah mangsa tetapi gagal kerana api terlalu marak tambahan lagi angin bertiup kencang ketika itu.

Katanya, beliau turut bersimpati dengan musibah menimpa keluarga tersebut.

“Kejadian itu telah dimaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pejabat Daerah Hilir Perak.

“Saya berharap pihak berkenaan dapat memberikan bantuan secepat mungkin kepada mangsa yang kini tiada tempat berteduh,” katanya.

Punca kebakaran dalam siasatan

Pegawai Bomba Teluk Intan, Mohd Nazri Getam berkata, pihaknya menerima panggilan berkenaan kejadian itu pada jam 3.26 petang dan tiba ke tempat kejadian jam 3.43 petang.

Menurutnya, seramai lapan anggota bersama satu jentera dikejarkan ke tempat kejadian.

“Sebaik sahaja kami sampai, hampir 60 peratus rumah berkenaan sudah terbakar.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan unit forensik bomba dari lpoh,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: