03 Januari 2012

Derma melalui potongan gaji

9 Safar 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU- Kakitangan kerajaan, badan berkanun dan swasta kini boleh menderma kepada anak yatim dengan membuat potongan gaji mereka serendah RM1.

Setiausaha Yayasan Kebajikan Anak-anak Yatim Kelantan (Yaatim), Mohamad Yaakob berkata, sebelum ini terdapat permintaan kakitangan kerajaan yang mahu menderma tetapi dalam kadar yang tidak menentu.

“Bagi memenuhi permintaan berkenaan, pihak kami mengalu-alukan kira-kira 70,000 kakitangan kerajaan yang ada di Kelantan, pekerja pejabat badan berkanun dan swasta digalakkan menderma melalui potongan gaji mereka.

“Bagi kakitangan kerajaan, pihak kami memudahkan cara dengan berunding dengan Jabatan Akauntan Negara dan Bank Negara Malaysia membenarkan gaji yang akan didermakan dipotong melalui Biro Angkasa serendah RM1,” katanya selepas memberi taklimat kepada 15 Pegawai Lantikan Baru Skim Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) di Yaatim, di sini.

Beliau berkata, derma melalui potongan gaji sudah dijalankan sejak 2005 dan sekarang ini, Yaatim memperoleh RM3,000 sebulan derma daripada kakitangan kerajaan di Kelantan melalui pemotongan gaji.

Menurutnya, setiap tahun, sebanyak RM1.52 juta peruntukan diperlukan bagi membiayai kos keperluan 200 anak yatim yang ada di yayasan berkenaan.

“Setakat ini, pihak kami memperoleh geran daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM310,000 setahun dan kami masih memerlukan banyak kos bagi menanggung perbelanjaan makan minum, persekolahan, pakaian termasuk wang persekolahan mereka RM2 sehari,” katanya.

Katanya, bagi pendaftaran baru, sehingga semalam, terdapat seramai 24 anak yatim dan pertambahan tersebut memerlukan kos berganda, namun penyertaan mereka bukanlah tetap pada satu-satu masa.

“Yaatim menganggarkan terdapat 10,000 anak yatim di negeri ini dan tidak semua antara mereka tinggal di rumah anak yatim, sebaliknya sebagai anak angkat atau menumpang di rumah saudara-mara,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: