03 Januari 2012

Sanggup ugut ibu kerana wang

9 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Seorang anak sanggup mengugut akan mencederakan ibu kandungnya sendiri dengan menggunakan sebilah pisau gara-gara permintaannya untuk mendapatkan wang tidak ditunaikan.

Bagaimanapun, Mohd Arbain Mustafa, 29, menerima balasan apabila Mahkamah Majistret, di sini, semalam menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau dua bulan penjara sekiranya dia gagal menjelaskan bayaran denda tersebut.

Hukuman itu dijatuhkan oleh Majistret Noradila Ab Latif selepas tertuduh yang berasal dari Kampung Undang, Bukit Payong, Marang, itu mengaku bersalah melakukan kesalahan tersebut di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, Mohd Arbain, anak sulung daripada tiga beradik itu mengaku telah melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya, Maznah Ismail, 49, dengan mengugut bertujuan untuk menyebabkan kecederaan parah menggunakan sebilah pisau.

Dia mengaku melakukan kesalahan itu antara 26 Disember jam 9 pagi dan 30 Disember tahun lalu jam 10.27 pagi di kediaman mereka di Kampung Undang, Bukit Payong, Marang.

Dengan itu, Mohd Arbain didapati telah melakukan kesalahan yang memperuntukkan penjara sehingga sampai tempoh tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Ngiam Ooi Ming manakala Mohd Arbain tidak diwakili peguam bela.

Berdasarkan fakta kes, pada 30 Disember tahun lalu kira-kira jam 5 pagi, mangsa iaitu ibu tertuduh pulang ke rumah mereka dan terkejut setelah mendapati keadaan di dalam rumah berselerak.

Mangsa telah diberitahu oleh adiknya yang turut tinggal serumah dengan mereka bahawa anak sulungnya iaitu tertuduh yang melakukan semua itu semasa ketiadaan mangsa di rumah.

Mangsa yakin tertuduh menga­muk disebabkan sebelum ini iaitu di antara 26 Disember jam 9 pagi dan 30 Disember tahun lalu, Mohd Arbain telah mengugut meminta wang dengan menggunakan sebilah pisau namun permintaan itu tidak diendahkan.

Bimbang perkara yang tidak diingini itu mungkin bakal berlaku lagi, mangsa mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Chendering dan pada 1 Januari lalu kira-kira jam 11.50 pagi, Mohd Arbain telah ditangkap polis di kediaman mereka.

Selain itu, polis turut merampas sebilah pisau yang diletakkan di atas rak di ruang tamu rumah, dipercayai telah digunakan untuk mengugut mangsa.

Sinar Harian

Tiada ulasan: