03 Januari 2012

Tak sempat jamah sarapan

9 Safar 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU – Hasrat seorang pengurus pengebumian untuk menjamu selera tidak kesampaian apabila mati ditembak dari jarak dekat di sebuah kedai kopi di Jalan Nakhoda, Taman Ungku Tun Aminah di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.13 pagi itu, Ong Chin Loo, 48, seorang lelaki yang memakai topi keledar menghampiri mangsa dan menembaknya dengan pistol jenis automatik ketika dia hendak bersarapan seorang diri.

Seorang saksi yang enggan dikenali memberitahu, selepas menembak mangsa, suspek berlari ke arah motor yang diletakkan di belakang kedai.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Ismail Yatim berkata, mangsa mati di tempat kejadian.

“Suspek yang memakai topi keledar melepaskan tembakan ke arah badan mangsa menyebabkan dia mengalami kecederaan lalu meninggal dunia di tempat kejadian. Kami turut menemui enam kelongsong peluru.

“Kami masih lagi menyiasat motif pembunuhan dari semua sudut. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kedai berkenaan sedang diteliti.

“Buat masa ini, kami menahan dua lelaki untuk membantu siasa­tan. ­Mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan diminta menghubungi balai polis terdekat bagi membantu siasatan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: