03 Januari 2012

Pas Kelantan tetap pertahan hudud: Mohd Amar

9 Safar 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan pertahankan hukum hudud yang ingin dilaksanakan dengan menegaskan dasar perjuangan parti itu masih kekal walaupun bekerjasama dengan parti bukan Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, dari sudut agama terdapat dua pendapat mengenai hukum hudud sekiranya dijalankan melibatkan seluruh rakyat di sesebuah negeri.

“Terdapat pula pandangan orang bukan Islam mempunyai pilihan berdasarkan al-Quran dan amalan-amalan Nabi Muhammad SAW. Kelantan memilih pendapat kedua dan ketika penggubalan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dilakukan ia mengambil kira
pandangan semua pihak yang sebahagian besar adalah ulama,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Bekas Setiausaha Dewan Ulama Pas Kelantan, Wan Ismail Wan Ahmad bahawa mendakwa perjuangan Pas kini menyeleweng perjuangan asal parti itu termasuk sanggup bekerjasama dengan parti bukan Islam.

Wan Ismail dilaporkan berkata akibat penyelewengan itu, Pas menggubal Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah dengan memberi pilihan kepada bukan Islam sama ada mahu menerima hudud atau tidak Mohd Amar yang Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan berkata, adalah jelas perlembagaan Pas kekal dan perlembagaan parti yang menentukan hala tuju sesebuah parti.

Katanya, walaupun pendekatan dan strategi parti mungkin berubah tetapi dasar dan matlamat perjuangan Pas kekal sehingga kini.

Sinar Harian

Tiada ulasan: