03 Januari 2012

Jangan tuduh tanpa bukti

9 Safar 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) menggesa Raja Petra Kamarudin (RPK) supaya mengemukakan bukti berhubung dakwaan ‘duit kopi’ yang terpaksa dibayar usahawan Cina di Selangor untuk mendapatkan sesuatu projek.

Pengerusi PKR Selangor, Azmin Ali berkata, Kerajaan Negeri di bawah pimpinan PR melaksanakan proses tender secara terbuka yang mengamalkan prinsip ‘value for money’ untuk menjamin ketelusan.

“Kita sentiasa pastikan pentadbiran telus da mem­bentuk Jawatankuasa Pilihan Khas Me­ngenai Keupa­yaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) untuk tujuan itu. Ini membuktikan kita memang telus dan bersih.

“Kami menolak politik fitnah dan kotor. Sekiranya mana-mana pihak ada bukti jelas dan kukuh berkaitan rasuah itu, mereka harus tampil berani untuk dedahkan dan bukannya menjadi anjing menyalak semata-mata hendak mendapatkan upah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR, menolak cadangan memberikan sebahagian wang Kerajaan Negeri yang diperuntukkan untuk membasmi penyelewengan, kepada Raja Petra.

“Bagi saya, cadangan itu tidak timbul dan tidak munasabah, kenapa pula Kerajaan Negeri guna wang rakyat untuk biayai kos perjalanan seseorang yang membuat tuduhan palsu?

“Ini wang rakyat dan ia tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abdul Rani Osman berkata, tuduhan itu terlalu berat dan memerlukan bukti kukuh.

“Jika Raja Petra berani dedahkan perkara itu dalam media, beliau kena beri bukti untuk kukuhkan lagi dakwaan itu.

“Kita pun tidak mahu penyelewengan berlaku di negeri ini, malah di seluruh negara,” katanya.

Abdul Rani turut menyokong pendirian Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin, yang menyatakan kesediaan Kerajaan Negeri untuk memberi sedikit daripada peruntukan sejumlah RM15 juta daripada ‘Geran Selangorku’, kepada Raja Petra untuk menampung kos perbelanjaan perjalanan penulis blog itu ke pejabat pentadbiran kerajaan.

Bagi Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok, beliau mempersoalkan kredibiliti Raja Petra yang membuat ulasan terhadap kepimpinan di negara ini kerana penulis blog itu sudah lama meninggalkan negara.

“Jika seseorang ada bukti menunjukkan usahawan terbabit perlu bayar rasuah untuk dapatkan tender, ia baik bagi kami dan kemukakanlah.

“Bagaimanapun, Raja Petra tidak boleh buat penilaian berdasarkan pihak yang bertemu dengannya kerana beliau sudah lama tinggalkan negara ini,” katanya.

Kelmarin, Raja Petra dalam wawancara bersama beberapa akhbar arus perdana menyatakan usahawan Cina di Selangor terpaksa membayar RM2 juta untuk mendapatkan projek.

Sinar Harian

Tiada ulasan: