03 Januari 2012

Remaja mencuri mengaku bersalah

9 Safar 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Dua bersaudara dihukum dua hari penjara dan didenda RM5,300 selepas didapati bersalah mencuri beberapa barangan keperluan termasuk tiga selipar kanak-kanak di sebuah pasar raya di sini, 30 Disember lalu.

Hukuman terhadap Zaima Abidin, 24, dan pesalah juvenil, 17, dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan den­da atau sebatan.

Dua beradik itu mengaku mencuri tiga gel rambut Super Hard Sky, satu minyak rambut Gat Sby Water Gloss dan tiga seluar panjang.

Turut dicuri, tiga kasut kanak-kanak termasuk dua berjenama Disney dan sepasang kasut wanita yang keseluruhannya bernilai RM181.57 milik pasar raya Tesco di sini pada jam 8.40 malam pada tarikh berkenaan.

Berdasarkan fakta kes, mereka meletakkan barangan tersebut di dalam beg masing-masing sebelum tindakan disedari pengadu yang kemudiannya menahan mereka sebelum diserahkan kepada pihak polis.

Pada prosiding semalam, kedua-duanya mengaku bersalah menyebabkan Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly mengenakan denda RM3,500 atau lapan bulan penjara terhadap Zaima manakala, denda RM1,800 atau penjara lima bulan terhadap adiknya.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad.

Sinar Harian

Tiada ulasan: