15 Mei 2012

Dalang curi kepala paip tumpas

23 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

JERTIH – Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Itulah nasib dua pemuda yang disyaki mencuri kepala paip di masjid di daerah ini apabila akhirnya mereka berjaya diberkas pihak polis semalam.

Dengan tertangkap dua suspek berumur 22 dan 20 tahun itu, polis dipercayai dapat menyelesaikan kes mencuri kepala paip keluli tahan karat untuk jemaah mengambil wuduk yang dilaporkan berlaku secara berleluasan di beberapa masjid daerah ini.

Kedua-dua suspek yang bekerja sebagai pemotong rumput tepi jalan dengan sebuah syarikat kontraktor di daerah ini diberkas sepasukan polis dari Balai Polis Jertih jam 12 tengah hari semalam ketika sedang memotong rumput di tepi jalan Padang Tapong-Lata Tembakah.

Dapat petunjuk daripada CCTV

DIFAHAMKAN kejayaan polis memberkas suspek selepas mereka mengulangi perbuatan kali kedua mencuri kepala paip di Masjid Kayu Ulul Albab Seberang Jertih pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi kelmarin itu, sembilan unit kepala paip keluli tahan karat dikebas pencuri iaitu baki selepas kejadian pertama pada 19 April lalu apabila sebanyak 10 unit kepala paip jenis sama dicuri.

Berikutan kejadian kedua itu, polis yang menyiasat meneliti imej dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di masjid tersebut telah mengesan Proton Saga yang berisi beberapa mesin rumput berada dalam kawasan masjid
pada waktu kecurian dilaporkan.

Berdasarkan petunjuk itu, polis menjalankan siasatan dan berjaya mengesan suspek lalu memberkas kedua-dua mereka masing-masing beralamat di Kampung Gong Bayor dan Lapan Kotak di sini.

Sinar Harian difahamkan suspek turut membawa polis ke sebuah kedai membeli besi lusuh di Kampung Keluang dekat Kampung Raja iaitu tempat dia mendakwa menjual hasil curi berkenaan.

Hasilnya polis menemui semula kesemua sembilan unit kepala paip yang dipercayai dicuri di Masjid Ulul Albab itu dan beberapa kepala paip lain yang belum dikenalpasti.

Dakwa jumpa kepala paip berlonggok di kawasan masjid

Polis turut menjalankan saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek dan mendapati kedua-duanya positif dadah jenis methamphetamine (pil kuda).

Namun, suspek pada mulanya dikatakan tidak mengaku mencabut paip tersebut daripada tempat me-ngambil wuduk sebaliknya membuat alasan kononnya kesemua barang kes tersebut ditemui berlonggok di kawasan masjid.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi memastikan sama ada suspek terlibat dengan kes kehilangan paip di masjid lain atau ia melibatkan individu lain.

Pemilik syarikat besi lusuh mengaku beli

SEMENTARA itu, pemilik syarikat besi lusuh yang ditemui mengaku kepada Sinar Harian membeli kepala paip tersebut kerana tidak menyangka ia barang curi.

“Saya tidak sangka kerana mereka datang ke kedai saya dengan pakaian kerja dan mereka menceraikan bahagian kepala paip tersebut,” katanya yang membeli keluli tahan karat berkenaan dengan harga sekitar RM3.50–RM4 sekilogram.

Pada 1 Mei lalu Sinar Harian melaporkan Masjid Al-Faqeh, Balik Bukit, Jertih kehilangan 27 kepala paip besi tahan karat di kawasan mengambil wuduk jemaah lelaki dan perempuan dipercayai dicuri pada siang hari.

Kemudian, dua hari selepas itu (3 Mei), akhbar ini melaporkan Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin bersama pegawai kanannya turun padang melihat sendiri kejadian di masjid itu.

Beliau turut memaklumkan pada hari tersebut sebanyak empat masjid lain melaporkan kejadian sama termasuk Masjid Kayu Ulul Albab.

Kamaruddin memberitahu polis memandang serius kejadian itu dan akan berusaha memastikan individu terbabit diberkas.

Sinar Harian

Tiada ulasan: