15 Mei 2012

Pemuda PAS ucap tahniah kepada skuad hoki remaja

23 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 15 Mei: Lajnah Seni, Kebudayaan & Sukan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DACS) mengucapkan tahniah kepada skuad Hoki Remaja Malaysia di atas kejayaan menewaskan Pakistan 2-1 pada perlawanan akhir Kejohanan Hoki Remaja Asia kali ketujuh, Ahad lepas.

Pengarahnya, A Halim Ahmad berkata, kejayaan itu juga merupakan kejayaan pertama setelah pencapaian terbaik iaitu muncul selaku naib johan pada 1992 setelah tewas di tangan lawan yang sama 3-0 di Ipoh.

“Perlawanan malam kelmarin jelas menunujukkan semangat juang yang jitu serta kemahiran mengawal perlawanan yang baik walaupun dicemari dengan insiden pergaduhan di lewat permainan namun itu semua tidak mengganggu mental pemain dan berjaya mengekalkan kedudukan sehingga wisel penamat,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, dengan mengambil kira keserasian serta persefahaman yang tinggi, adalah wajar skuad itu dikekalkan dimasa hadapan.

Beliau menambah, gaya persembahan yang matang juga harus dipuji tahniah juga diucapkan kepada Dharma Raj kerana berjaya meningkatkan mutu persembahan skuad hoki remaja kita.

Katanya lagi, kemenangan kelmarin tidak harus menyebabkan pemain dibuai mimpi indah kerana perjalanan masih ‘jauh’ yang perlu ditempuhi sebelum benar-benar bergelar juara di peringkat dunia.

“Disiplin dan akhlak yang tinggi perlu ditekankan memandangkan mereka masih remaja agar tidak terjerat di dalam ‘glamour’ dunia selebriti sehingga mendatangkan kesan jangka panjang yang tidak sihat,” ujarnya lagi.

Justeru, ujarnya DACS mengharapkan agar skuad itu terus tabah mengharungi dunia hoki yang penuh mencabar ini dengan penuh dedikasi serta tekad demi mengharumkan nama negara di mata dunia.

“Jagalah tingkah laku dan tampilkan keperibadian yang tinggi. Ingatlah bahawa kamu membawa nama dan bendera negara walau di mana pun berada. Malaysia Boleh!,” katanya.

Harakah Daily

Tiada ulasan: