15 Mei 2012

Tragedi Hari Ibu

23 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

PASIR MAS – Seorang ibu tidak dapat menahan sebak apabila anaknya menyuarakan mahu mendapat hadiah, sempena sambutan Hari Ibu, sebelum terlibat dalam kemalangan, di Kampung Hutan Cengal, Bunut Susu, dekat sini, jam 8.30 malam kelmarin.

Murni Abd Rahman, 48, berkata, anaknya, Mohamad Noor Hanef Ab Hadi, 17, kelihatan sedih kerana terlupa untuk membelikannya hadiah sempena Hari Ibu.

Menurutnya, sebelum Hanef keluar bersama rakannya, untuk ke kelas tambahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jias, dia berjanji untuk mendapatkan hadiah.

“Saya kata tak perlulah membelikan hadiah, sebab saya tahu dia sayangkan saya, bukan hanya ketika sambutan Hari Ibu. Namun dia tetap berkeras dan mahu mendapatkan hadiah untuk saya,” katanya sebak.

Menurutnya, selepas dia bersetuju, Hanef kelihatan ceria dan suka bergurau dengan adik-beradik yang lain, sedangkan sebelum ini dia jarang meluangkan masa bersama.

Murni berkata, anak kedua dari empat beradik itu, lebih suka menghabiskan masa mengulang kaji pelajaran bersama rakan, kerana dia bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sementara itu, bapanya, Abdul Hadi Harun, 65, berkata, beberapa hari sebelum ini, dia sudah mengagak kejadian ini akan berlaku.

“Dua tiga hari lalu, saya rasa tak sedap hati dan mengagak, akan ada ahli keluarga saya yang akan meninggal dunia. Tidak sangka pula anak sendiri akan pergi lebih dulu daripada saya,” katanya ketika ditemui di bilik mayat, Hospital Pasir Mas, semalam.

Hadi berkata, anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap namun Hanef keluar dari rumah lebih awal untuk menghadiri kelas tambahan di sekolah.

Menurutnya, kebiasaan Hanef keluar selepas solat Isyak tetapi, dia tergesa-gesa keluar, selepas rakannya yang datang mengambilnya dengan menaiki motosikal.

Dalam kejadian itu, Hanef, bersama Mohammad Aiman Mohd Shukri, pelajar dari SMK Tendong maut manakala tiga parah apabila terlibat dalam kemalangan malam, kelmarin. Tiga yang parah adalah Mohd Razif Ramli, 17; dan Mohd Yuzairi Yusof, 17, dan Mohd Khairul Nizam, 15.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, lima pelajar ini menaiki tiga motosikal dari arah Bunut Susu ke Tal Tujuh, Pasir Mas.

Menurutnya, Khairul Nizam menunggang motosikal Honda EX5 sendirian, manakala Hanef juga menunggang Honda EX5 bersama Razif dan Aiman menunggang Modenas bersama Yuzairi.

“Kita dapati salah seorang daripada mereka cuba memotong dari arah belakang, bagaimanapun, tidak sempat lalu bergesel antara satu sama lain. Kesemua pelajar yang tidak memakai topi keledar, dipercayai membawa motosikal dalam keadaan laju, tercampak setelah bertembung,” katanya, semalam.

Beliau berkata, Aiman dan Hanef mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala, meninggal di tempat kejadian, manakala tiga lagi dihantar ke Hospital Pasir Mas, sebelum diserahkan kepada Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi diminta tampil, untuk memberikan maklumat berhubung kejadian itu. Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bechah Durian, Bunut Susu, dekat sini, pagi semalam.

Sinar Harian

1 ulasan:

Prettywrite berkata...

smk bunut susu bukan smk jias..n hanya razif seorang yang parah..gambar sinar harian ke tu?mohon copy ya..