15 Mei 2012

Dadah RM43j dirampas

23 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Polis berjaya menumpaskan sindiket memproses dan menge­dar pil khayal eramin 5 bernilai RM43 juta dalam 15 serbuan serentak di Klang, Pulau Pinang dan di sini, Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, polis merampas 88,000 pil eramin 5 dan 282.62 kilogram serbuk yang boleh menghasilkan 2.3 juta pil.

“Sindiket didalangi warga tempatan­, pasaran utama di kalangan negara serantau, sekali gus menjadikan ia rampasan terbesar berkaitan eramin 5 pada tahun ini,” katanya.

Menurutnya, polis turut merampas pelbagai peralatan memproses dadah, 12 kereta mewah dan wang RM82,305.

“Polis turut menahan 25 anggota sindiket, termasuk tiga warga Taiwan dan tiga warga Nepal, berumur antara 24 dan 60 tahun. Enam daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau berhubung kes narkotik,” katanya.

Beliau berkata, serbuan pertama di sebuah premis berselindung di sebalik kedai membuat bingkai gambar di kawasan perindustrian di Klang.

“Polis menahan enam individu yang sedang memproses dadah di premis berkenaan. Sindiket itu dipercayai aktif sejak enam bulan lalu mendapat kepakaran memproses pil khayal daripada warga Taiwan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, semalam.

Noor Rashid berkata, dua makmal memproses dadah di Klang dan Pulau Pinang serta sebuah stor menyimpan bahan kimia itu mempunyai kaitan antara satu sama lain.

Sinar Harian

Tiada ulasan: