15 Mei 2012

Ismail sokong Hanif tidak pulih reputasi panel bebas

23 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melihat sokongan yang diberikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar atas pelantikan Tun Hanif Omar untuk mengetuai panel bebas bagi menyiasat insiden keganasan yang berlaku dalam perhimpunan Bersih 3.0 tidak mampu menjernihkan keadaan serta meredakan kemarahan rakyat.

Ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor (gambar) berkata, ini kerana rakyat masih melahirkan kesangsian dengan pelantikan Hanif yang menurut mereka adalah hanya ‘melepas batuk di tangga’ bagi mengelakkan lebih banyak prejudis rakyat terhadap kerajaan khususnya Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam mengendalikan Bersih 3.0.

“Ramai percaya panel bebas yang diketuai oleh Tun Hanif Omar sebenarnya ‘tidak bebas’ dan akan bersifat berat sebelah,” katanya.

Katanya lagi, umum mengetahui bahawa Haniff adalah bekas Ketua Polis Negara dan panel yang beliau ketuai adalah bagi menyiasat insiden keganasan yang didakwa dilakukan oleh institusi yang pernah diketuainya iaitu polis.

Beliau berkta, adalah sukar untuk dipercayai jika beliau mampu memberikan laporan yang adil dan telus terhadap PDRM.

Malah, ujar beliau Haniff pernah mengeluarkan kenyataan yang mengutuk perhimpunan tersebut dan menyalahkan penganjurannya selepas beberapa hari penganjuran bersih 3.0.

Menurutnya, yang lebih dikesali adalah kerajaan menolak cdaangan supaya dilantik pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyiasat perhimpunan Bersih 3.0.

Bagi DPPM, kata Riduan sebaiknya Ismail menyokong saranan banyak pihak untuk melantik wakil dari PBB menyiasat insiden disebalik perhimpunan Bersih 3.0 kerana ia lebih diyakini dan lebih bebas.

Harakah Daily

Tiada ulasan: