16 Rejab 1433H. [MOD] -
KOTA BHARU - Seorang peniaga kedai emas terpaksa berputih mata, selepas kedainya dipecah masuk, di Pasir Tumboh, malam kelmarin.
(Seing Ai, (duduk depan) buntu memikirkan kejadian kedainya yang dipecah masuk
malam kelmarin)
Akibat kejadian itu, Lu Seing Ai, 49, mengalami kerugian kira-kira RM300,000.
Seing Ai berkata, dia hanya menyedari mengenai kejadian itu, kira-kira jam 12 tengah hari untuk memulakan perniagaan, dan melihat kedai berselerak.
“Saya memeriksa peti besi tempat menyimpan barangan kemas dan mendapati ia ditebuk dengan menggunakan gerudi dan kesemua barangan kemas dilarikan. Terkejut melihat keadaan itu, saya terus menaiki tangga kedai dan melihat siling di bahagian atas ditebuk dan mengesyaki pencuri itu menggunakan tali menyusup masuk ke dalam kedai,” katanya.
Menurutnya, kejadian terbabit berlaku begitu pantas dan dia masih trauma.
“Ini merupakan kejadian ketiga sepanjang 26 tahun berniaga dan kejadian seumpama itu pernah berlaku namun saya tidak menanggung kerugian yang banyak. Saya masih buntu namun mengharapkan polis dapat melakukan siasatan bagi menahan penjenayah yang terlibat dalam kejadian ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Assistan Komisioner Azham Othman berkata, berdasarkan siasatan, dipercayai kedai itu dipecah masuk kira-kira jam 12 hingga 1 pagi.
“Walaupun kedai terbabit mempunyai kamera litar tertutup (CCTV), penjenayah itu berjaya masuk ke dalam kedai melalui siling selain menebuk tempat simpanan emas dalam kedai itu dengan menggunakan gerudi,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Azham berkata, pihaknya mengesyaki kejadian terbabit melibatkan lebih dari seorang penjenayah.
“Sehingga hari ini pihak polis masih menjalankan siasatan berhubung kes tersebut dan mengharapkan jika orang ramai yang mempunyai maklumat boleh salurkan kepada balai-balai polis terdekat bagi membantu menyelesaikan kes,” katanya.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan