16 Rejab 1433H. [MOD] -
Kerajaan Selangor bersedia mengambil tindakan mahkamah terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kerajaan Pusat sekiranya semakan oleh Kerajaan Negeri mendapati daftar pemilih SPR terbukti mengandungi unsur-unsur penipuan.
Demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Negeri Selangor, Ronnie Liu dalam rancangan ‘Terus Terang’ terbitan TV Selangor .
Menurut Ronnie, daftar pemilih yang dikeluarkan oleh SPR menimbulkan banyak keraguan.
“Kita ada terima laporan dari senarai daftar pemilih SPR yang baru, kita semua terkejut pengundi baru untuk Selangor sahaja bertambah sebanyak setengah juta.
“Ini luar biasa. Ini tentu ada ‘hanky panky’. Kotor, tetapi kotor sampai mana kita belum tahu lagi sebab kita baru sahaja melancarkan satu proses semakan dengan pergi rumah ke rumah dengan bantuan ketua kampung, ahli majlis dan rakan-rakan.
“Lebih kurang dalam masa seminggu lagi kita akan dapat tahu wujudkah pengundi hantu, berapa pengundi hantu, dari Indonesia, Myanmar kita akan beritahu, kita akan buat laporan nanti,” ujar Ronnie ketika menjawab soalan pengacara rancangan temubual itu, Mat Zahari Ali.
Pada April lalu, laporan minoriti Jawatankuasa Terpilih Parlimen untuk memperbaiki sistem pilihan raya dan membuktikan penipuan terang-terangan SPR telah ditolak perbahasannya oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Antara bukti yang dikemukan dalam laporan itu terdapat 80 ribu pengundi di negara ini yang mempunyai dua alamat secara serentak.
Rentetan peristiwa itu telah membawa kepada perhimpuan BERSIH 3.0 (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil) pada 28 April lalu.
Dalam satu kenyataan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kepada TVS baru-baru ini, Dewan Negeri Selangor tidak akan dibubarkan sebelum daftar pemilih SPR dibersihkan.
selangorku/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan