16 Rejab 1433H. [MOD] -
PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya tidak mengambil mudah skandal penjualan rahsia pertahanan negara.
(Azmin dalam sidang medianya di ibu pejabat PKR hari ini)
Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali menegaskan Najib harus tampil memberikan jawapan bagaimanakah rahsia tersebut boleh dijual oleh penasihat utama beliau sendiri iaitu Abdul Razak Baginda dan ayahnya Abdul Malim Baginda.
Sebelum itu, Azmin memberitahu pendedahan NGO Suaram bahawa syarikat yang berkait dengan Perdana Menteri telah menjual rahsia pertahanan negara adalah satu krisis nasional yang mendesak tindakan segera.
Menurutnya, berdasarkan kertas siasatan kes saman yang dibawa oleh Suaram berhubung pembelian kapal selam Scorpene yang mengamalkan rasuah, peguam Joseph Breham telah mendedahkan beberapa perkara.
"Sebuah syarikat bernama Terasasi (Hong Kong) Limited telah menjual dokumen sulit pertahanan negara kepada sebuah syarikat Perancis bernama DCNS.
"Dokumen sulit pertahanan negara itu adalah laporan penilaian prestasi kapal selam Scorpene berasaskan keperluan pertahanan yang digariskan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)," jelas Azmin.
Tambahnya lagi, dokumen sulit itu dijual pada harga RM142 juta dalam keadaan syarikat Terasasi (Hong Kong) Limited tersebut dimiliki oleh penasihat utama Najib.
Azmin turut menyatakan skandal pembelian Scorpene kini melangkaui persoalan rasuah dan penyelewengan dana rakyat semata-mata.
"Pendedahan ini menunjukkan bagaimana pimpinan Umno-Barisan Nasional tidak teragak-agak untuk mengadaikan kemerdekaan dan keselamatan negara demi mengumpul kekayaan peribadi.
"Tindakan menjual rahsia pertahanan negara ini adalah pengkhianatan pada tahap tertinggi yang mesti dijawab oleh Najib sendiri kerana ia berlaku semasa beliau memimpin Kementerian Pertahanan," sambungnya lagi.
Beliau turut mendesak pihak berkuasa yang terbabit iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) supaya memulakan siasatan segera untuk membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka keadilan.
"Sekiranya ATM tidak terlibat dalam penjualan maklumat strategik negara, maka saya mendesak pimpinan tertinggi ATM untuk membuat laporan polis dengan segera," tambah Azmin lagi.
Tindakan penjualan dokumen sulit ini secara tidak langsung membahayakan nyawa perajurit negara yang mengendalikan kapal selam Scorpene yang sudah beroperasi.
Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan