16 Rejab 1433H. [MOD] -
PASIR PUTEH – Ibu muda maut bersama bayi dalam kandungan beberapa hari sebelum tarikh jangkaan bersalin selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 12.6 Jalan Pasir Puteh-Semerak dekat sini, petang kelmarin.
Rodiautul Fatma Mohd Rosli, 24, berasal dari Jeram Pasu yang sepatutnya merujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian hari ini meninggal dunia di tempat kejadian akibat patah leher.
Kereta yang ditumpangnya dikatakan hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum berlaku perlanggaran dengan pacuan empat roda ketika melalui selekoh tajam berhampiran Bukit Peraksi.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd Kamal Zainal berkata, kemalangan yang berlaku kira-kira jam 2.30 petang itu turut menyebabkan tiga yang lain dalam kereta sama cedera yang kini menerima rawatan di hospital.
Katanya, mereka yang cedera ialah rakan Rodiatul Fatma iaitu Marliana Harun, 26, dari Kampung Telosan, pemandu berusia 29 tahun dan seorang lagi penumpang berusia 47 tahun.
“Daripada siasatan awal, polis tidak menolak kemungkinan kereta Proton Satria dari arah Semerak itu dipandu laju sebelum hilang kawalan serta terbabas ke laluan bertentangan.
“Kereta itu kemudiannya berlanggar dengan pacuan empat roda dari arah Pasir Puteh,” katanya sambil memberitahu kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mohd Kamal berkata, pengguna laluan itu diminta lebih berhati-hati ketika melalui selekoh tersebut walaupun tidak banyak rekod kematian akibat kemalangan dicatatkan di kawasan itu.
“Kalau kita lihat selekoh itu memang berbahaya lebih-lebih lagi ketika hujan, saya menasihati pengguna supaya berwaspada ketika melaluinya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Kaharudin Yahya ketika ditemui berkata, pihaknya menerima panggilan daripada polos mengenai kejadian itu jam 2.35 petang.
Katanya, jentera bomba dengan kekuatan empat anggota bergegas sampai ke tempat kejadian jam 2.50 petang dan mengambil masa lima minit untuk mengeluarkan mangsa dari tempat duduk belakang.
“Ketika bomba tiba di situ, hanya terdapat satu mangsa yang sudah meninggal dunia di dalam kereta, kami mengeluarkannya dan menyerahkan kepada polis sebelum mayat dihantar ke Hospital Tengku Anis,” katanya.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan