16 Rejab 1433H. [MOD] -
BANDAR TUN RAZAK – Berikutan tragedi langgar lari sehingga meragut nyawa seorang anak pegawai polis trafik pada 25 Mei lalu, polis masih lagi berusaha mengesan pemandu lori jenis Isuzu berkepala putih yang berpenutup kanvas berwarna kelabu.
Lori itu dipercayai melanggar mangsa, Muhammad Husaini Ruslan, 20, di Kilometer 22.7 Jalan Maran menuju Sungai Jerik menyebabkan mangsa maut serta-merta di tempat kejadian, sementara pemandu lori terbabit melarikan diri.
Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Ahmad Johari Shahabudin berkata, polis kini masih giat mengesan suspek terbabit.
“Kami belum menemui dan masih melakukan siasatan untuk mengesan pemandu terbabit. Justeru, polis mengharapkan kerjasama orang ramai jika mempunyai sebarang maklumat atau menemui lori disyaki itu,” katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan mangsa yang berasal dari Jerantut itu dilanggar di selekoh dalam perjalanan pulang ke rumahnya.
Tiada saksi berjaya mencatat nombor plat lori terbabit berikutan kejadian berlaku terlalu pantas.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan