06 Jun 2012

Tumbuk rakan kerana wanita

16 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Alahai! Disebabkan seorang wanita bernama Melah, seorang pemandu teksi sanggup menumbuk dan menendang rakannya sendiri dalam satu kejadian berhampiran sebuah kedai makan di Stesen Teksi Kuala Terengganu, di sini, 23 Mac lalu.

Bagaimanapun, akibat perbuatan yang terlalu mengikut perasaan itu, tertuduh, Alias Ghazali, 39, dari Kampung Pak Kancil Luar, di sini, dikenakan hukuman denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Lebih malang, sekiranya Alias gagal menjelaskan denda terbabit, dia terpaksa meringkuk dalam penjara selama dua bulan.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi selepas Alias mengaku salah mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap rakannya, Raja Ngah Raja Salleh, 51.

Alias mengaku dengan sengaja menyebabkan kecederaan dengan menumbuk dan menendang Raja Ngah berhampiran kedai makan di Stesen Teksi Kuala Terengganu, di sini, kira-kira 12 tengah hari, 23 Mac lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Ngiam Ooi Ming manakala Alias tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, Alias dikatakan mencari Raja Ngah selepas berselisih faham dengan mangsa yang keluar bersama seorang wanita dikenali sebagai Melah.

Sebaik menemui mangsa berhampiran kedai makan berkenaan, Alias terus menarik tangan mangsa keluar dari kedai sebelum menumbuk dan menendang mangsa.

Bimbang kejadian tidak diingini, mangsa mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu dan susulan laporan dibuat, Alias ditahan sepasukan polis di hadapan stesen teksi di Jalan Masjid Abidin, di sini, 1 Jun lalu.

Sinar Harian

Tiada ulasan: