16 Rejab 1433H. [MOD] -
SUNGAI PETANI – Sebuah van polis yang dinaiki dua anggota terbakar sebaik sahaja sampai di simpang empat Jalan Lencongan Timur dekat Kompleks Mahkamah dan Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani dalam kejadian jam 10.30 pagi semalam.
Kejadian berlaku apabila kedua-dua anggota yang berada dalam van menyedari terdapat kepulan asap keluar dari bahagian enjin dan kenderaan berbau hangit.
Selepas memberhentikan kenderaan, mangsa menutup enjin dan keluar dari kenderaan sebelum menyedari van itu sudah mula terbakar.
Panik dengan kejadian terbabit, mangsa dikatakan terus menghubungi pihak bomba bagi operasi memadam kebakaran.
Tinjauan Sinar Harian di lokasi kejadian mendapati sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani telah pun tiba dan sedang berusaha memadam kebakaran.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.
Menurutnya, van dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Yan itu sebenarnya membawa tertuduh dari Yan ke Kompleks Mahkamah Sungai Petani untuk perbicaraan.
“Bagaimanapun, ketika kejadian van itu sudah keluar dari mahkamah dan sedang menuju ke arah simpang empat berkenaan.
“Hanya dua anggota polis sahaja berada dalam van sementara penumpang lain telah pun dihantar,” katanya.
Hashim berkata, kedua-dua mangsa berjaya menyelamatkan diri sebelum kebakaran merebak ke seluruh bahagian kenderaan itu, bagaimanapun tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan