16 Rejab 1433H. [MOD] -
PENGENDALI skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal dan Kapten Safiq Rahim optimis dengan prestasi Harimau Malaya dan mahu melancarkan misi menebus kekecewaan apabila bertemu Singapura pada perlawanan persahabatan antarabangsa kedua di Stadium Jalan Besar Jumaat ini.
"Kita kena turun bermain dengan mentaliti untuk menang," kata beliau.
Tambah beliau, "apabila kita bermain dengan Singapura kali ini adalah berbeza dari segi tradisinya dikatakan perlawanan 'derby' dan boleh dikatakan satu permainan yang menarik."
Sehubungan itu katanya, para penyokong mungkin tidak sabar untuk melihat perlawanan ini.
"Kita akan pergi ke Singapura untuk mendapat keputusan yang baik," jelas beliau sambil menambah, "ia pasti menjadi satu suasana yang berbeza," katanya lagi.
Beliau mengakui bahawa moral pemain setakat ini berada dalam keadaan baik selepas perlawanan dengan Filipina di Shah Alam Jumaat lepas.
Beliau ditemui pada sesi latihan skuad Harimau Malaya di Kelana Jaya semalam.
Pasukan Malaysia gagal layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2014. Ia tewas 5-3 di Stadium Jalan Besar, Singapura manakala seri 1-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil menyaksikan Singapura layak dengan agregat 6-4.
Beliau juga tidak risau dengan prestasi Safee Sali kerana masih belum menjaringkan gol setakat ini.
"Saya tidak risau dengan prestasi Safee. Dia adalah seorang pemain profesional untuk menghadapi situasi sedemikian.
"Bagi seorang pemain dan penyerang, dia akan melalui proses itu. Saya fikir dia akan bersedia apabila bermain dalam Piala AFF Suzuki nanti. Itulah yang amat penting untuk saya sebagai jurulatih," katanya lagi.
Bagaimanapun Rajagobal mengakui bahawa beliau mahu Safee kembali ke tahap di mana bermain dengan baik pada perlawanan persahabatan dan menjaringkan gol dalam setiap perlawanan.
"Biar dia melalui proses ini untuk dia sedar, marah kepada diri sendiri untuk menjadi pemain lebih baik.
"Kita tahu mentaliti dan karakter Safee dan saya tidak risau. Bukan sahaja Safee malah pemain lain. Saya kenal pemain ini kerana dalam situasi yang lebih teruk daripada ini dalam Sukan Sea 2009 dan Piala Suzuki AFF dia telah menunjukkan komitmen dan karakter," jelas beliau.
Sementara itu, Safiq menggesa rakan-rakan sepasukan supaya menghasilkan keputusan yang positif.
"Saya dan rakan sepasukan berjanji akan menampilkan persembahan terbaik menentang Singapura pada 8 dan 12 Jun ini. Kami mahu menebus kekecewaan lalu dan tidak akan mengulangi kesilapan itu lagi,'' jelasnya kepada pemberita.
Harimau Malaya akan berlepas ke Singapura hari ini.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan